Nama penyanyi dan penyampai radio Mawi tiba-tiba menjadi trending di Twitter sejak semalam.
Di Twitter, seorang pengguna Afiq Shari telah berkongsi foto Mawi menerusi ciapannya dan telah dilihat sebanyak 5.3 juta kali oleh warga maya.
“Kids these day will never know how hype of Mawi back in the day,” ciap Afiq.
Perkongsian tersebut telah menarik ramai warga maya yang turut mengimbas kembali gelombang Tsumawi pada tahun 2005 itu.
Menyedari namanya menjadi trending, Mawi menerusi hantaran di Instagram telah berkongsi dan memberikan reaksi mengenai perkara tersebut.
“Tahun 2005 begitulah ceritanya,” tulis Mawi ringkas disertakan emoji ketawa.
Dalam masa sama Mawi turut berkongsi tangkap layar peminat mengenai fenomena Mawi World dan mengimbas kembali ketika dia menjadi peserta Akademi Fantasia musim ketiga.
Selain peminat, guru tarian Mawi ketika menjadi pelajar Akademi Fantasia turut berkongsi ciapan mengenai Mawi yang tidak pandai menari.
Imbas kembali, fenomena Mawi World dan Tsumawi bermula selepas Mawi menjuarai program Akademi Fantasia pada tahun 2005.
Ketika itu, Mawi menjadi siulan ramai tanpa mengira had usia daripada kanak-kanak seawal usia satu tahun sehinggalah warga emas.
Hebatnya Tsumawi ketika itu, ada peminat yang sanggup menghadiahkannya kereta, malah Mawi juga menjadi buruan jenama-jenama terkenal untuk menjalin kerjasama.
Fenomena itu turut digambarkan dalam filem arahan Mawi berjudul “Tiada Tajuk”. – BOOM!