Tanpa sokongan peminat setia, juara Bintang RTM 1985, Ramlah Ram, 59, mengakui kerjaya seninya tidak bisa terus ampuh.
Ramlah yang mesra disapa Kak Melah, menganggap dirinya bertuah memiliki peminat yang tidak berkira, bukan sahaja daripada segi tenaga, malah, sanggup mengeluarkan duit poket untuk membiayai aktiviti seninya.
Terbaharu, dalam projek single Hati, peminat bersusah payah mengeluarkan bajet dan tenaga dalam menghasilkan video muzik untuk lagu ciptaan adik kandung Ramlah, iaitu Rashid Ram.
Tidak hairanlah, Ramlah cukup akrab dengan peminat. Hampir tujuh tahun lalu, ketika salah seorang peminat yang juga komposer lagu Sesaat Kau Datang, Allahyarham Suzaimi Soaib meninggal dunia, Ramlah sangat terkesan.
Allahyarham Suzaimi yang ketika itu presiden kelab peminat, Ramlah Ram Group (RRG), banyak berjasa dalam menyokong perjalanan karier Ramlah.
“Selepas pemergian arwah abah, kehilangan Suzaimi memberi kesan yang sangat mendalam kepada diri saya. Boleh dikatakan, separuh daripada semangat saya hilang dan pergi bersama dua insan ini.
“Bukan mudah berjumpa peminat seperti Suzaimi yang sanggup berkorban segala-galanya termasuk wang ringgit. Keikhlasan hati dan semangat yang ditunjukkan memang hebat.
“Selain arwah Suzaimi, saya sangat beruntung mempunyai ramai peminat yang sudah saya anggap seperti keluarga.
“Keakraban mereka lebih daripada keluarga, mereka bersama saya saat susah dan senang.
“Mereka dekati saya bukan untuk ambil kesempatan, sebaliknya, sanggup habiskan duit sendiri hingga puluhan ribu ringgit demi semata-mata untuk kelangsungan kerjaya saya,” katanya pada majlis sambutan ulang tahun dan pelancaran single Hati di ibu negara, baru-baru ini.
Single Hati diedar syarikat rakaman dinaungi RRG Entertainment. Malah, video muzik lagu itu diterbitkan RRG.
Ramlah berkata, video muzik Hati diarah peminat, Fairozee Hashim.
“Fairozee juga bertindak sebagai penyunting. Kumpulan peminat ini sejak mereka bersekolah lagi sudah menyokong saya.
“Mereka ikhlas mahu melihat masa depan saya terjamin hingga tidak pernah minta sesen pun daripada saya,” katanya yang mendapat tip daripada peminat mengenai kaedah memanfaatkan media sosial sebagai medium komunikasi.
Pada usia sekarang, Ramlah bukan lagi mengejar anugerah. Sebaliknya, penyanyi Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu ini mahu menghasilkan sekurang-kurangnya satu single baharu setiap tahun.
Andai lagunya berjaya menembusi pertandingan seperti Anugerah Juara Lagu (AJL), Ramlah menyifatkan, ia bonus.
“Sekarang tiada lagi perasaan hendak bertanding. Sebaliknya, lebih kepada menikmati hidup dan kerjaya nyanyian,” katanya.
Ramlah menganggap semua lagu baharu yang dirakam adalah milik keluarga.
“Semua single milik keluarga dan ada nilai sentimental. Single Hati berbeza daripada lagu lain kerana lebih santai dan relaks. Sesekali, elok juga hasilkan lagu seperti ini,” katanya.
Video muzik Hati boleh ditonton di YouTube dan distrim di semua platform digital, mulai esok. – BOOM!
Sumber: BERITA HARIAN