Di tengah-tengah kontroversi yang melanda penyanyi Yasin Sulaiman susulan hukuman penjara seumur hidup yang dikenakan, tular kembali sebuah video lama yang menampilkan temu bual eksklusif bersama Melodi sekitar 15 tahun lalu.
Dalam video tersebut, wartawan Melodi TV3, Nas Ahmad, menemu bual Yasin selepas beliau pulang dari mendapatkan rawatan di wad psikiatri Hospital Canselor Tuanku Mukhriz UKM (HCTM) akibat gangguan emosi dan tekanan jiwa.
@m.firdausgais #yasinsulaiman #ceritaartismalaysia #fypシ゚viral ♬ original sound – ✨ فردوس ✨
Menurut Yasin, selepas menjalani rawatan selama dua minggu, pihak hospital mengesahkan dia mengalami gangguan bipolar.
“Waktu itu kecoh dan ramai yang terkejut bila tahu saya masuk wad psikiatri. Memang ramai orang datang waktu itu,” kenang Yasin.
Yasin turut berkongsi bahawa gangguan bipolar yang dihadapinya menyebabkan fikiran menjadi kusut dan tidak dapat berhenti berfikir, malah tidur hanya sekitar tiga jam sehari.
Walaupun tidak sampai mengamuk atau mencederakan orang lain, Yasin mengakui dia ‘berperang’ dengan dirinya sendiri kerana tidak mendapat rehat yang cukup.
“Kiranya saya ‘berperang’ jugalah dengan jiwa saya, cuma tidaklah sampai mengamuk. Kalau mengamuk pun, di media sosial sahaja. Itu pun, saya sendiri tak ingat apa yang saya ‘upload’. Tapi bila dah okay dan baca balik, saya pun malu,” tambahnya.
Yasin juga menyatakan bahawa tekanan yang dialami mungkin disebabkan terlalu lama berada di hadapan cahaya dan berasa seperti ada kuasa jahat yang menyebabkan dia tertekan, hingga terasa seperti ingin ‘mengubah dunia’ pada waktu itu.
Di penghujung temu bual, Yasin yang juga terkenal dengan lagu ‘Mimpi Laila’ itu memaklumkan bahawa dia semakin pulih dari gangguan bipolar.
Dia juga menyarankan kepada mereka yang mengalami tekanan mental untuk segera merujuk kepada pakar dan mendapatkan rawatan yang sewajarnya.
Yasin turut berharap agar kesedaran mengenai masalah kesihatan mental dapat ditingkatkan dalam kalangan masyarakat pada masa akan datang.
“Di Malaysia, ketika itu, masih belum ada ilmu mengenai cara nak atasi masalah tekanan. Saya harap orang akan lebih faham mengenai masalah yang berkaitan dengan tekanan di masa akan datang,” katanya.
Untuk makluman, Yasin Sulaiman didapati bersalah atas tiga kes dadah dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup serta 16 sebatan oleh Mahkamah Tinggi pada 22 Ogos lalu. – BOOM!