“Memang perceraian itu berlaku secara paksaan dan berlaku depan mata saya,” luah penyanyi, Datuk Nora Ariffin, ketika mengenang kembali detik-detik getir perceraian dengan bekas suaminya, Dr. Rushdi Ramli, yang pernah menjadi topik hangat di media sosial pada Ogos lalu.
Dalam sidang media Konsert Hanya Satu Datuk Nora Ariffin 30 Years Journey di BSYNCLIVE, Nora menceritakan semula pengalaman pahit itu, di mana bekas suaminya menerima panggilan telefon yang mengarahkannya untuk menceraikan Nora sejurus selepas mereka selesai menunaikan solat Subuh.
“Saya sangat terkejut dan tertanya-tanya apa salah saya waktu itu. Namun, saya tahu siapa yang memberi arahan itu,” kata Nora, yang enggan mendedahkan identiti individu yang memaksa perceraian tersebut berlaku.
Mengimbau kembali insiden itu, Nora mengakui bahawa keputusan untuk merakam dan memuat naik video perceraian di Instagram adalah satu kesilapan yang dibuat dalam keadaan emosi yang tidak stabil.
“Disebabkan terlalu emosi, saya terus merakam perceraian dan memuat naik di media sosial tanpa fikir implikasinya,” ujarnya dengan penuh penyesalan.
Nora turut menegaskan bahawa niat asalnya memuat naik video tersebut hanyalah untuk menjelaskan status terkini perkahwinannya, tetapi menyedari tindakannya itu adalah satu kesilapan besar.
“Saya sedar tindakan saya adalah satu kesilapan. Sebagai manusia, saya tidak mampu mengawal emosi dan berfikir secara rasional. Lagipun, situasi waktu itu sangat mengejutkan dan menyebabkan trauma kepada diri saya,” tambahnya lagi.
Walaupun perceraian itu berlaku sebelum video tersebut dimuat naik, Nora menafikan dakwaan bahawa bekas suaminya diugut menggunakan senjata untuk menceraikannya.
Mengenai tempoh perkahwinan mereka, Nora memilih untuk merahsiakan butiran tersebut, namun umum mengetahui bahawa Dr. Rushdi adalah sahabat baik suaminya yang terdahulu, Allahyarham Johan Nawawi.
Kini, hubungan mereka tetap baik meskipun perkahwinan mereka telah berakhir, dan Nora menegaskan bahawa segala salah faham sudah dileraikan.
“Saya sudah memohon maaf kepada bekas suami dan dia sudah memaafkan saya. Dia tahu apa keadaan masa itu dan sekarang ini hubungan kami baik-baik saja,” katanya menutup bicara. – BOOM!
Sumber: Harian Metro