Kuala Lumpur dibuai dengan keasyikan muzik apabila dua bintang tersohor Indonesia, Afgan dan Lyodra, melakar sejarah menerusi konsert istimewa ADA AFGAN & LYODRA: LIVE IN KUALA LUMPUR yang berlangsung di Megastar Arena, KL pada Sabtu lalu.
Acara gempak ini dianjurkan oleh Kharisma Music (KM) dengan sokongan jenama kosmetik tanah air, Alha Alfa, Intan Gelombang, dan Futurace.
Malam penuh magis itu dimulakan dengan persembahan pembukaan dari pendatang baharu berbakat besar, Ash Fasryll, yang memukau penonton dengan lagu ‘Nyaman’ oleh Andmesh Kamaleng.
“Saya amat berterima kasih kepada KM kerana memilih saya sebagai ‘opening act’, satu penghormatan besar buat saya,” kata Ash, yang telah mencatatkan lebih 1 juta penstriman di Spotify.
Kemunculan Afgan dan Lyodra di pentas benar-benar menghangatkan suasana.
Afgan mengalunkan lagu-lagu hits seperti Jodoh Pasti Bertemu, Bawalah Cintaku, dan Kamu Yang Ku Tunggu dengan suara lunaknya, manakala Lyodra memukau ribuan hadirin dengan Sang Dewi, Tak Dianggap, dan Menyesal.
Gabungan kedua-dua artis ini mencipta pengalaman muzik luar biasa yang sukar dilupakan.
“Pengalaman malam ini sangat luar biasa. Saya teruja dapat berkongsi pentas dengan Lyodra dan lebih dekat dengan peminat di Kuala Lumpur,” kata Afgan selepas persembahan.
Lyodra turut meluahkan perasaannya, “Saya sangat bersyukur dapat membuat persembahan di sini dan merasai sokongan hebat daripada peminat Malaysia.”
Konsert ADA malam itu mendapat sambutan luar biasa dengan ribuan peminat dari seluruh Malaysia memeriahkan Megastar Arena.
Acara ini turut disokong oleh rakan radio rasmi ERA, Sinar, dan Gegar, serta rakan media rasmi Gempak.
Dengan sorakan dan gemuruh yang tidak putus-putus, konsert ADA pastinya meninggalkan kenangan manis buat para peminat yang hadir. – BOOM!