Pengumuman pertama AFTER RACE FEST telah mencetuskan keterujaan ramai, diadakan sempena ulang tahun ke-25 PETRONAS Sepang International Circuit (SIC) bersama penganjuran MotoGP™️ yang penuh bertenaga.
Acara ini akan berlangsung pada 3 November di Helipad, PETRONAS SIC, bermula jam 4 petang hingga tengah malam, menampilkan barisan artis hebat.
Pada pengumuman pertama, penganjur HIFIVE Entertainment mengesahkan kehadiran Smash Mouth, Macklemore, bersama Nidji, Feel Koplo, 6ixth Sense dan DE FAM untuk memeriahkan fasa pertama acara.
Kini, dalam fasa kedua, Ratu Rock Malaysia, Ella diumumkan sebagai artis tambahan yang bakal memeriahkan lagi AFTER RACE FEST.
Istimewanya, Ella juga akan menyanyikan lagu Negaraku pada acara MotoGP™️, suatu penghormatan besar buat penyanyi yang kian aktif dengan konsert-konsertnya yang sentiasa sold out.
“Menjadi sebuah penghormatan untuk saya menyanyikan lagu Negaraku di MotoGP™️. Selepas itu, saya akan berkongsi pentas bersama Smash Mouth dan Macklemore. Jangan lupa temui saya di AFTER RACE FEST!” ujar Ella penuh semangat.
Selain persembahan artis, acara ini turut menampilkan aktiviti lain seperti pertunjukan drone dan persembahan bunga api.
Pengarah Urusan HIFIVE Entertainment, Sean Pereira, berkata, “Kami bangga menganjurkan AFTER RACE FEST untuk meraikan pengunjung dari seluruh dunia dengan pelbagai aktiviti dan persembahan yang luar biasa.”
Program bermula jam 4 petang dengan Feel Koplo dan DE FAM di Segment Get Started, diikuti Nidji dan 6ixth Sense di Segment Healing.
Kemuncak acara menampilkan persembahan hebat dari Ella, Smash Mouth di Segment Lets Rock, dan akhirnya headliner, Macklemore di Segment Solidarity. Macklemore dijangka memukau penonton dengan lagu terbarunya “HIND’S HALL 2.”
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan AFTER RACE FEST pada 3 November di Helipad, PETRONAS Sepang International Circuit, yang menjanjikan pengalaman luar biasa dan hiburan tanpa batas! – BOOM!