Stainless, band hardcore dari Kuala Lumpur yang mula menempah nama sejak penubuhan mereka pada tahun 2022, semakin kukuh dalam persada muzik tempatan dan bersiap-siap untuk menggegar pentas antarabangsa. Dengan anggota lengkap seramai enam orang iaitu Shah (Mic Jockey 1), Alin (Mic Jockey 2), Yat (Guitar 1), Syek (Guitar 2), Aneez (Bass), dan Abel (Drum), Stainless hadir dengan semangat yang berkobar-kobar dan penuh tenaga.
Sejak pelancaran EP Ultimate Resurrection pada 2022, Stainless berjaya meraih sokongan padu peminat hardcore tempatan. Kejayaan berterusan dengan pelancaran lagu dan video Till We Die pada tahun 2023, di mana mereka semakin mantap sebagai band yang memiliki identiti tersendiri dalam muzik hardcore Malaysia.
Tahun ini, Stainless sekali lagi mencuri tumpuan dengan video muzik terbaru mereka, Triumph, yang dilancarkan pada Ogos 2024 menerusi saluran YouTube rasmi mereka. Sambutan yang diterima luar biasa, di mana peningkatan penonton dan jumlah peminat baharu mengukuhkan pengaruh Stainless dalam industri muzik tempatan.
“Sambutan peminat terhadap Triumph benar-benar memberi motivasi kepada kami untuk terus menghasilkan karya yang lebih baik,” kongsi mereka.
Selain itu, baru-baru ini Stainless turut terlibat dalam acara Fright Night – The Return 2024 bertemakan Halloween di Drum Asia Hartamas, KL. Di hadapan kira-kira 300 peminat setia, Stainless mempersembahkan aksi penuh energi dan bersama-sama kumpulan terkemuka lain seperti Naratu, Konfliktion, Tools Of The Trade, Restraint, Lost Control, Back D, dan ramai lagi.
Langkah seterusnya buat Stainless adalah jelajah Indonesia Take Da Crown, di mana mereka akan tampil di empat lokasi berbeza, bertemu peminat baru dan memperkenalkan karya mereka termasuk Triumph. Tour ini diharapkan bukan sahaja membuka peluang buat Stainless untuk memperluas pengaruh mereka, tetapi juga mendekatkan mereka dengan peminat hardcore di Indonesia.
Stainless juga mengumumkan rancangan untuk melancarkan album penuh yang terdiri daripada 10 lagu pada tahun 2025. Impian mereka juga termasuk untuk menyertai festival muzik hardcore terbesar di Asia, iaitu BloodAxe Festival di Jepun, di mana mereka yakin mampu mencipta nama yang lebih besar di peringkat antarabangsa.
Dengan perjalanan yang semakin rancak, Stainless kini berada di landasan yang tepat untuk terus melakar nama dalam industri hardcore, bukan hanya di Malaysia tetapi juga di luar negara. – BOOM!