Kumpulan KRU, nama yang tidak asing lagi dalam industri muzik tempatan, kembali mencuri perhatian dengan pelancaran single terbaru mereka, “Voodoo”, hari ini. Lagu ini merupakan single pertama dari album terbaru mereka berjudul “Kaset” yang diumumkan bulan lalu.
Mengimbau kembali zaman kegemilangan mereka, “Voodoo” mengekalkan DNA muzik asal KRU yang bergenre Pop Dance, Hip hop, dan R&B. Lagu ciptaan Norman, Yusry, dan Edry ini mengetengahkan tema keterujaan dan kekeliruan seorang lelaki yang terperangkap dalam daya tarikan luar biasa seorang wanita. Lebih menarik, ia juga menonjolkan kematangan vokal serta kecanggihan KRU dalam menghasilkan karya muzik yang relevan dengan citarasa masa kini.
“Voodoo amat istimewa bagi kami. Bukan sahaja kerana ia lagu baru selepas enam tahun menyepi, tetapi juga sebagai pembuka lembaran baru industri muzik tempatan melalui penerbitan video muzik dengan teknologi AI,” ujar KRU ketika ditemui BOOM! hari ini.
Video muzik “Voodoo” mempersembahkan elemen unik melalui “prekuel” fiksyen mengenai perjalanan awal KRU pada era 90-an sebelum pelancaran album pertama mereka pada tahun 1992. Istimewanya, MV ini menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mencipta kembar digital (Digital Twin) bagi ketiga-tiga anggota KRU, menjadikan mereka artis tempatan pertama memanfaatkan teknologi ini.
“Semoga lagu ini mendapat tempat di kalangan peminat muzik masa kini dan menjadi salah satu tarikan untuk peminat membuat ‘reunion’ bersama kami di konsert “Kaset” pada tahun hadapan,” tambah mereka.
Lagu “Voodoo” kini boleh didengari di pelbagai platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Deezer, dan KKBox. Video muzik rasmi pula boleh ditonton di saluran YouTube KRU, KRUbros.
Bagi peminat yang ingin mengetahui perkembangan terkini, ikuti KRU di akaun rasmi mereka di Facebook, Instagram, TikTok, dan YouTube. – BOOM!