Selepas enam tahun membawa haluan masing-masing, kumpulan ikonik KRU kini kembali bersatu dengan pelancaran single terbaru mereka, “Voodoo”. Bagaimanapun, mereka menegaskan keputusan untuk membubarkan kumpulan pada 2018 bukanlah gimik, sebaliknya berpunca daripada keputusan Edry Abdul Halim berhijrah ke United Kingdom.
“Pembubaran KRU dahulu bukan gimik. Ketika kami sedang membuat persiapan konsert ulang tahun ke-25, Edry tiba-tiba beritahu dia mahu berhijrah ke Manchester dan tidak mahu kembali. Saya sendiri terkejut, tapi keputusan itu adalah hak dia,” jelas Dato’ Norman Abdul Halim, ketika ditemui di majlis pelancaran muzik video “Voodoo” di Courtyard, Kuala Lumpur, Rabu lalu.
Selain Edry dan Norman, KRU turut dianggotai oleh Datuk Yusry Abdul Halim. Menurut Yusry, kejayaan KRU selama hampir tiga dekad dalam industri membuatkan mereka mahu berehat.
“Salah satu sebab kami berhenti adalah kerana sudah tiada lagi cabaran. Kami sudah capai banyak perkara. Nak paksa diri buat album atau konsert pun tak seronok lagi. Ibarat kita dah daki gunung tertinggi, gunung lain yang rendah sudah tidak lagi mencabar,” katanya.
Namun, kerinduan terhadap peminat yang setia mendorong mereka untuk kembali. Edry, yang kini menetap di Manchester, sanggup berulang-alik ke Malaysia selama setahun untuk menghasilkan album baharu berjudul “Kaset”.
“Tipulah kalau saya tak rindu sokongan peminat. Itu salah satu sebab saya kembali,” kata Edry.
Sebagai tanda penghargaan kepada peminat, KRU tampil dengan single pertama mereka, “Voodoo”, yang turut dimuatkan dalam album “Kaset”. Menariknya, muzik video lagu tersebut dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), menjadikan KRU kumpulan pertama di Malaysia menggunakan teknologi ini.
“Lagu Voodoo kini boleh didengar di pelbagai platform penstriman seperti Spotify, Apple Music, dan KKBox, manakala muzik videonya boleh ditonton di saluran YouTube rasmi KRU, KRUbros,” kata mereka.
Kepulangan KRU dengan karya baharu bukan sahaja mengubat kerinduan peminat tetapi juga membuktikan mereka masih relevan dan inovatif dalam industri seni tanah air. – BOOM!