Penerbit filem terkenal, David Teo meluahkan rasa terkejut dan terkilan selepas mengetahui rumah milik pelakon Farid Kamil bakal dilelong. Lebih mengejutkan, kediaman tersebut merupakan hadiah daripada David sendiri selepas kutipan memberangsangkan filem terbitan Metrowealth International Group (MIG) sekitar 10 tahun lalu.
Menurut David, beliau hanya mengetahui perkara itu melalui panggilan media.
“Kalau Farid ada masalah, sepatutnya dia beritahu saya. Mungkin saya boleh beli rumah ini daripadanya. Rugilah rumah ini terpaksa dilelong kerana nilainya sekarang sudah dua kali ganda,” katanya.
David juga bersedia membantu jika dimaklumkan lebih awal.
“Saya sanggup beli rumah itu dan berikan jumlah yang dimahukan, kemudian mungkin saya boleh jual semula. Tetapi, sekarang sudah terlambat kerana rumah itu bakal dilelong,” ujarnya lagi.
Berhubung dakwaan masalah kewangan Farid, David mengakui hubungan mereka sekadar berkaitan kerja dan beliau tidak mengetahui kehidupan peribadi Farid.
“Kami memang tidak pernah bercerita soal peribadi. Dia hubungi saya untuk meminta watak hero dan saya tawarkan filem Bisikan Dosa. Selain itu, saya tidak tahu apa-apa mengenai masalahnya.”
Terdahulu, tular notis lelongan di media sosial menunjukkan sebuah rumah di Bandar Saujana Putra, Selangor disenaraikan untuk dilelong pada harga RM522,000. Kediaman tersebut dipercayai milik Farid Kamil Zahari, tetapi pelakon itu masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan.
Sumber: Berita Harian