Kehilangan sebahagian rumahnya akibat kebakaran dahsyat di Los Angeles telah memaksa Mandy Moore , suami Taylor Goldsmith, dan tiga anak mereka berpindah sementara ke rumah pasangan Hilary Duff dan Matthew Koma.
Menerusi perkongsian di Instagram, Moore mendedahkan bahawa mereka sempat berpindah dari rumah mereka di Altadena sebelum api merebak teruk. Walaupun rumah utama mereka masih berdiri, ia tidak lagi boleh didiami, sementara bahagian seperti studio muzik, garaj, dan rumah belakang musnah sepenuhnya.
“Ramai orang dalam hidup kami kehilangan segalanya,” luah Mandy. Malah, abang iparnya, Griffin Goldsmith, dan isterinya yang sedang hamil turut menjadi mangsa bencana ini.
Dalam satu perkongsian lain, Griffin memuji kemurahan hati Duff dan Koma yang bukan sahaja memberikan mereka tempat berteduh tetapi turut melancarkan kempen GoFundMe untuk membantu mereka memulakan kehidupan baharu.
“Perkara ini begitu menggoncang jiwa, tetapi sokongan dan kasih sayang yang kami terima sangat luar biasa,” kata Griffin.
Duff dan Koma juga mengambil inisiatif untuk membantu keluarga Griffin dan Mandy sejak bencana tersebut bermula.
“Mereka melakukan perkara yang paling mulia untuk sesama manusia,” tambah Griffin lagi.
Griffin turut menggambarkan Duff dan Koma sebagai insan yang paling baik dan tidak mementingkan diri yang pernah dikenalinya. – BOOM!