Kehidupan keluarga selebriti terkenal Bollywood, Kareena Kapoor , terganggu selepas insiden suaminya, Saif Ali Khan , diserang di kediaman mereka di Mumbai. Insiden tragis itu berlaku pada awal pagi Khamis, 16 Januari, apabila penceroboh dilaporkan menikam Saif sebanyak enam kali.
Saif segera dibawa ke hospital pada kira-kira jam 3.30 pagi. Menurut Ketua Pegawai Operasi hospital, Niraj Uttamani, dua daripada tikaman tersebut lebih serius dan memerlukan rawatan rapi.
Terkejut dengan apa yang berlaku, Kareena meluahkan rasa sedih dan memohon ruang untuk keluarganya menghadapi situasi ini.
“Dengan rasa hormat dan rendah diri, saya meminta agar media dan paparazi elakkan membuat spekulasi serta liputan tidak henti-henti,” katanya.
Bintang filem Asoka itu turut memberi amaran bahawa pemerhatian yang berlebihan hanya akan menjejaskan keselamatan keluarganya.
“Walaupun kami menghargai sokongan anda, pemerhatian berterusan boleh menimbulkan risiko besar kepada keselamatan kami. Terima kasih atas kerjasama anda ketika waktu yang sensitif ini,” tambah Kareena.
Kejadian ini mengejutkan ramai, namun peminat terus memberikan doa dan sokongan kepada Saif serta keluarganya. Mereka berharap agar pelakon terkenal itu segera pulih dan kembali ceria bersama keluarga tercinta. – BOOM!