Setiap kejayaan hadir bersama cabaran, dan Zizan Razak , 40, tidak terkecuali daripada menghadapi jatuh bangun dalam dunia perniagaan. Menerusi perkongsian di media sosial, selebriti popular ini membuka kisah di sebalik perjuangannya sebagai seorang usahawan.
“Korang kena dengar luahan hati saya. Saya dah simpan lama. Tahun 2025, saya rasa masa yang sesuai untuk saya ceritakan apa yang saya lalui dalam bisnes. Saya kena tipu, banyak kali. Kalau nak sebut tentang nilai, agak besar,” luah Zizan.
Meskipun diuji dengan kekecewaan akibat ditipu berkali-kali, Zizan tetap positif melihat kejayaan rakan-rakan lain di media sosial.
Mengulas perancangannya untuk tahun ini, Zizan optimis dengan langkahnya menghasilkan koleksi Kurta dan Baju Melayu menjelang Hari Raya.
“Tahun ini, apa yang saya cuba nak buat ini harapnya menjadi. Kalau tak banyak pun, tidak mengapa. Saya nak buat Kurta dan Baju Melayu,” ujarnya.
Di penghujung perkongsian, Zizan menyentuh hati ramai apabila dia membuat panggilan telefon kepada ibunya untuk memohon doa dan keberkatan, sebagai langkah memperkukuhkan perjalanan perniagaannya.
Semoga usaha Zizan Razak menjadi inspirasi buat ramai yang berani bangkit daripada kegagalan demi mencapai impian. – BOOM!