Hubungan romantis antara bekas ahli Lovelyz, Lee Mi Joo, dan penjaga gol Jeonbuk Hyundai, Song Bum Geun, akhirnya menemui noktah selepas sembilan bulan menjalin cinta secara terbuka.
Menurut laporan MyDaily, pasangan tersebut baru-baru ini mengambil keputusan untuk berpisah.
“Mi Joo dan Song Bum Geun telah berpisah. Mereka menyayangi satu sama lain dengan indah, namun tekanan menjalani hubungan secara terbuka terlalu sukar untuk diatasi. Meski berpisah, mereka memilih untuk terus saling menyokong,” dedah sumber terdekat.
Pasangan ini mula mengumumkan hubungan mereka pada April tahun lalu, memuat naik gambar di media sosial yang menunjukkan kemesraan mereka.
Mi Joo, khususnya, sering menunjukkan kasih sayangnya kepada Song Bum Geun, termasuk melawat Yokohama, Jepun, ketika pemain itu bermain di J-League bersama Shonan Bellmare.
Namun, meskipun usaha mengukuhkan hubungan jarak jauh dilakukan, mereka tetap mengambil keputusan untuk berpisah.
Perpisahan ini turut mengejutkan peminat kerana Song Bum Geun baru sahaja kembali ke Korea Selatan untuk menyertai Jeonbuk Hyundai bagi musim baharu. Pemindahan itu sebelumnya meningkatkan harapan untuk hubungan mereka bertambah erat, tetapi takdir sebaliknya berlaku.
Lee Mi Joo kini aktif dalam dunia hiburan, tampil dengan bakat pelbagai menerusi rancangan seperti Hanging Out With Yoo dan mencipta nama sebagai artis solo sejak debutnya pada 2023.
Song Bum Geun pula mempersiapkan diri untuk musim baharu sebagai penjaga gol Jeonbuk Hyundai, setelah menyertai kelab itu sebagai pemain rookie pada tahun 2018. – BOOM!