Pelawak Shahrol Azizie Azmi atau lebih dikenali sebagai Shahrol Shiro, telah mengambil tindakan tegas dengan membuat laporan polis terhadap hantaran di media sosial oleh pelawak Harith Iskander yang didakwa menghina agama Islam.
Dalam laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang semalam, Shahrol turut menyasarkan seorang lagi individu dikenali sebagai Cecella Yap Song KL atas komennya yang menghina Nabi Muhammad SAW.
“Harith Iskander & Cecelia Yap, demi agamaku repot polis ON,” tulis Shahrol dalam hantarannya di media sosial.
Shahrol turut meluahkan rasa kesal terhadap tindakan Harith yang disifatkannya membuka ruang kepada orang ramai untuk mempersenda Islam.
“Sebagai pelawak, tidak semua sudut pandang boleh dijadikan bahan lawak. Kita patut lebih sensitif lebih lagi membabitkan agama kita.”
Beliau menegaskan bahawa tindakan itu sudah melampaui batas, justeru laporan polis adalah langkah yang perlu diambil.
Sebelum ini, Harith Iskander memuat naik hantaran berkaitan jenaka mengenai kopi yang dinamakan ham sap kopi. Bersama gambar menu kopi dari sebuah trak makanan tempatan, Harith menulis:
“Saya begitu keliru. Iman saya tergugat. Kopi ini akan membawa saya ke jalan yang salah dalam pelbagai cara. Siapa lagi yang keliru?”
Hantaran tersebut disudahi dengan emoji ketawa hingga mengundang kecaman netizen yang menyifatkan jenaka itu tidak wajar dan menyinggung sensitiviti agama. – BOOM!