Rata-rata warganet mengakui mereka sebak, lantas mengalirkan air mata saat mendengar sedutan perbulan antara Shuib dan arwah isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin menerusi klip video Tinggalkan Diri yang mula dimuat naik semalam.
Rakaman suara berkenaan dibuat sebelum penyanyi itu ditidurkan dek paras oksigen terlalu rendah akibat jangkitan Covid-19, sebaik sebelum hembusan nafas terakhirnya.
Shuib membuat keputusan memuat naik rakaman lagu ketika sesi latihan sempena persembahan Sarah di Matic pada 2018.
“Ibu, satu step ni saja you kena lepaskan, you minta dengan Allah kuatkan semangat you. Insya-Allah, lepas ni kita tengok baby kita.
“Ibu, sumpah I sayang you sangat!” kata Shuib yang ternyata mampu meruntun air mata audiens mendengar rakaman itu.
Arwah Sarah turut sempat menitip pesan buat suaminya dan meminta supaya Shuib tidak bersedih.
“You jangan menangis, daddy jangan sedih. Ampunkan dosa-dosa I ya. I love you!” memetik balasan Sarah, sekali gus satu lagi petikan kata-kata yang menambah deras aliran tangisan.
Mengimbas kenangan sesi latihan, Shuib berkata, dia mendengarnya selepas beberapa hari pemergian Siti Sarah.
“Saya dengar dan sebak, seolah-olah semua yang terlibat dalam sesi itu tahu mereka akan pergi termasuk Siti Sarah,” katanya.
Selain Siti Sarah, sesi rakaman lagu berkenaan turut membabitkan Allahyarham Lok U dan Allahyarham Aji.
Lagu berkenaan sudah mengumpul lebih 700,000 tontonan dengan kira-kira 3,000 komen yang masing-masing melahirkan rasa sebak.
Kehibaan itu dapat dirasakan sebaik mendengar rakaman perbualan yang dikongsikan dalam lagu tersebut.
Siti Sarah, 37, meninggal dunia pada 9 Ogos lalu tiga hari selepas ditidurkan. – BOOM!