Pemilik syarikat produksi A Aida Production, Datuk A Aida memilih untuk berdamai dengan Idris Khan, sekali gus menyelesaikan isu saman antara mereka di luar mahkamah.
Keputusan itu dibuat selepas Aida selaku plaintif menarik balik saman difailkannya pada Jun lalu ketika menghadiri perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Dalam prosiding pagi tadi, peguam mewakili Idris selaku defendan kedua iaitu Jason Wee memohon supaya kes diselesaikan secara baik.
Permohonan yang dibuat di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan itu turut dipersetujui oleh pihak guaman penerbit sensasi berkenaan.
Susulan kesepakatan dicapai mereka, Zulqarnain kemudian membenarkan permohonan defendan tanpa sebarang tanggungan dikenakan ke atas kedua-dua pihak.
Pun begitu, mahkamah memerintahkan Idris membayar RM3,780 kepada plaintif sebelum penghujung November 2022, selain tidak membenarkan pelakon terbabit memfailkan saman malu terhadap Aida.
Sementara itu, dalam prosiding sama, defendan pertama iaitu pelakon Amelia Henderson kekal dengan pendiriannya untuk melawan dengan meneruskan perbicaraan.
Amelia dan Idris berdepan tindakan saman tersebut setelah mereka didakwa melanggar kontrak perjanjian bagi sebuah drama yang telah ditandatangani lebih awal.
Justeru, Aida bersama sutradara drama Sekali Lagi Cinta Kembali iaitu Rizal Baharuddin sepakat memfailkan saman berserta tuntutan ganti rugi, di samping dapat dijadikan iktibar. – BOOM!