Pelakon, penyanyi dan pengacara, Fida Ibrahim berkongsi berita duka menerusi satu entri yang dimuat naik di laman Instagram miliknya, @rafidahibrahim semalam.
Menurut Fida atau Rafidah Ibrahim, 35, hasratnya bersama suami, Shahzemir Shahzulkarib yang menikahinya pada 5 Mei lalu untuk menimang cahaya mata sulung terbantut setelah bayi dikandungnya keguguran.
Khabar menyedihkan tersebut dimaklumkan Fida dengan satu coretan panjang di bahagian kapsyen bagi menceritakan pengalaman pilu dialami dalam masa singkat yang sempat Allah pinjamkan kepadanya.
“Kehilangan bagi pasangan suami isteri yang baru mendirikan rumah tangga mahupun telah lama menantikan kehadiran cahaya mata adalah pengalaman amat menyedihkan.
“Begitu juga buat saya dan suami. Akan tetapi sebagai hamba, apalah daya kita untuk menolak takdir-Nya.
“Pilihan pertama adalah pilihan kami, manakala pilihan kedua datangnya daripada Ilahi. Sudah tentulah Maha Pencipta lebih mengetahui segala yangg terbaik buat kami,” memetik karangan ditulisnya beserta sebuah klip video pendek.
Tambah Fida yang kini bergelar usahawan bisnes produk makanan sejuk beku di bawah jenama Aris Burger terbabit, walaupun sedih mengenangkan insiden dilaluinya, dia tetap memanjatkan rasa syukur atas nikmat sementara ibu hamil dikurniakan.
“Pastinya perancangan Dia lebih baik berbanding manusia. Saya yakin, jika saya mampu mengharungi ujian ini dengan perasaan sabar, wanita lain di luar sana juga mesti boleh.
“Semoga hidup kita sentiasa dirahmati Allah,” ulasnya. – BOOM!