Perlawanan Byon Combat Showbiz Volume 4 pada Sabtu lalu menyaksikan pempengaruh Malaysia, Aisar Khaled, berhadapan dengan selebriti Indonesia, Fadly Faisal di Jakarta, yang menarik perhatian ramai. Namun, aksi spontan Aisar yang cuba ‘memikat’ pempengaruh Fuji, adik perempuan Fadly, menjadi bualan hangat di media sosial.
Dalam video tular di TikTok, Aisar, atau nama sebenarnya Aisar Khaled Kamel, tewas dalam perlawanan tersebut, menyaksikan Fadly merangkul gelaran pemenang Influence Championship Boxing (ICB) Asia yang pertama. Namun begitu, Aisar menganggap peluang bertanding dengan Fadly sudah mencapai impian utamanya.
“Terima kasih Fadly, kamu sangat hebat. Salam kenal, Fuji mana?” kata Aisar selepas perlawanan.
Tidak berhenti di situ, Aisar kemudian meminta izin untuk bergambar bersama Fuji dan bertanya, “Saya nak tanya, Fuji single tak?”
Susulan kekalahannya, Aisar menunaikan janji dengan memberikan wang 100 juta rupiah, bersamaan RM28,000, kepada Fadly dan keluarganya. Lebih menggelikan hati, Aisar sempat berseloroh dengan bapa Fuji dan Faisal.
“Kalau RM28,000 ni cukup tak hantaran untuk Fuji?” gurau Aisar.
Gelagat Aisar yang mesra itu mengundang perhatian warganet. Ramai berpendapat bahawa perlawanan ini seakan menjadi platform untuk Aisar lebih mengenali Fuji.
“Papa terus dipanggil ayah Fuji,” kata seorang warganet.
“Adoi Aisar, walaupun nafas dah semput, hujung-hujung dia tak lupa nak cari Fuji juga,” komen seorang lagi.
Walaupun Aisar kalah dalam perlawanan tersebut, namun dia jelas mencuri perhatian ramai dengan sikap santai dan mesranya. – BOOM!