Pelakon Bollywood iaitu Tunisha Sharma ditemukan mati dipercayai membunuh diri semalam di set penggambaran drama bersiri Visai di Mumbai, India.
Aktres terkenal yang baru berusia 20 tahun itu didakwa menggantung diri pada kipas siling di bilik solek di set penggambaran tersebut.
Perkara tersebut disedari kru produksi apabila Tunisha dikatakan tidak munculkan diri selepas meminta izin untuk ke tandas.
Mereka kemudian cuba memecahkan pintu bilik solek dan mendapati tubuh mangsa tergantung di kipas siling.
Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
Beberapa jam sebelum kejadian, Tunisha sempat memuat naik satu video di Instagram menyaksikannya berada di bilik solek sambil berbual dengan kru produksi.
Turut kelihatan jurusolek sedang menyolek kesan kelar pada pergelangan tangan Tunisha.
Bukan itu sahaja, Tunisha sempat berkongsi satu foto dirinya yang disertakan kapysen terakhir tulisannya.
“Sesiapa yang dipacu minat tidak akan berhenti,” tulisnya.
Difahamkan, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini.
Tak dinafikan, berita kematian pelakon yang cukup berbakat itu mengejutkan orang ramai terutamanya peminat dan kenalan. – BOOM!