Pelawak Along Cham atau Muhammad Nizamudin Ahmad, 41, dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) atas pertuduhan memiliki dadah jenis kanabis di Mahkamah Sesyen Sepang semalam.
Keputusan itu disambut dengan sujud syukur oleh Along yang berada di kandang tertuduh. Namun, pelawak itu masih berdepan dengan dua pertuduhan lain berkaitan dadah, yang dibawa ke Mahkamah Majistret.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Faraheen Yahya memaklumkan, berdasarkan laporan kimia, pertuduhan di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dipinda kepada pertuduhan yang lebih ringan dan dipindahkan ke Mahkamah Majistret.
“Pertuduhan kamu di bawah seksyen ini (39A(2)) DNAA… kamu akan dituduh di Mahkamah Majistret kerana pertuduhan kamu dipinda,” katanya.
Di Mahkamah Majistret, Along menghadapi dua pertuduhan, iaitu memiliki dadah jenis kanabis seberat 49.61 gram dan memasukkan dadah disyaki tetrahydrocannibol (THC) pada Disember tahun lalu.
Along mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dan dibenarkan diikat jamin sebanyak RM5,000. Sebutan kes seterusnya dan laporan kimia dijadualkan pada 7 April depan. – BOOM!
Sumber: Berita Harian