Penyanyi dan pelakon berbakat besar, Amira Othman , kembali dengan single baharu berjudul “Bila Nak Kahwin?”, yang diterbitkan oleh Sony Music Malaysia dengan kerjasama Emiera Othman Ventures. Lagu ini dihasilkan bersama dua komposer terkenal, Iqie Hugh dan Omar K, serta melibatkan penyertaan Amira sendiri dalam penulisan lirik.
Menurut Amira, inspirasi lagu ini tercetus daripada soalan yang sering diajukan kepadanya sebagai figura awam.
“Soalan seperti ‘Bila nak kahwin?’ itu sangat ‘relatable’. Saya jadikannya sebagai inspirasi untuk menyampaikan mesej positif kepada orang ramai,” jelas Amira.
Menampilkan elemen pop moden dan bunyian klasik seperti akordion, lagu ini memberikan kelainan sambil mengekalkan identiti muziknya yang unik.
“Saya cuba gabungkan sentuhan segar dengan elemen nostalgia seperti lagu ‘Hati Hati’ dan ‘Jaga Jaga’,” tambahnya.
Proses rakaman lagu ini hanya mengambil masa 3 hingga 4 jam, menjadikannya satu pengalaman pantas tetapi bermakna. Muzik video (MV) lagu ini pula menampilkan situasi harian yang sering dialami ramai, terutamanya ketika menghadiri majlis perkahwinan.
“Soalan cepumas itu pasti biasa didengar, dan MV ini cuba menggambarkan kehidupan sebenar,” katanya lagi.
Amira berharap lagu ini bukan sahaja diterima di Malaysia, tetapi turut mendapat perhatian di peringkat antarabangsa serta tular di media sosial seperti TikTok.
Single “Bila Nak Kahwin?” kini boleh didengari di platform penstriman seperti Apple Music, Spotify, dan YouTube Music. – BOOM!