Pempengaruh Andika Putera , dipercayai telah menamatkan zaman duda selepas berkongsi momen indah bersama seorang wanita yang dipercayai isterinya.
Menerusi video yang dimuat naik di laman sosial, Andika, atau nama penuhnya Muhamad Andika Putera, memaparkan detik majlis akad nikah dan persandingan mereka. Kedua-dua majlis itu bertemakan busana serba putih, menampilkan pasangan mempelai dalam suasana yang serba elegan.
Lebih menyentuh hati, majlis bahagia tersebut turut dihadiri anak perempuannya, Alisha Puteri.
“Bismillah. Inilah permulaan baru dan sebuah kebahagiaan yang tidak berkesudahan. Semoga Allah membimbing perkahwinan kita dan memberi sakinah, mawaddah dan rahmah. Amin,” tulisnya.
Dalam kapsyen yang sama, Andika turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir memeriahkan hari istimewanya, termasuk isteri tercinta.
“Terima kasih keluarga, sahabat, keluarga baru dan doa anda semua. Doakan ikatan ini membawa ketenangan, kebahagiaan, dan kasih sayang yang berpanjangan. Dan akhir sekali, terima kasih cinta,” tambahnya.
Namun begitu, Andika memilih untuk tidak memaparkan wajah isterinya di video tersebut. Meski begitu, warganet pantas berkongsi sebuah video TikTok yang mendedahkan kejelitaan wanita tersebut.
Ruangan komen dihujani dengan ucapan tahniah dan doa agar perkahwinan ini kekal bahagia hingga ke akhir hayat.
Andika, 27, sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama Ananda Natasha namun berpisah selepas empat tahun. Perkahwinan terdahulu itu dikurniakan seorang anak perempuan, Alisha Puteri. – BOOM!