Astro bakal memeriahkan malam ambang tahun baharu dengan ‘Konsert Countdown MeleTop 2025‘ yang akan berlangsung pada 31 Disember ini di IOI City Mall, Putrajaya. Konsert ini diadakan secara percuma sebagai tanda penghargaan kepada penonton dan peminat setia Astro.
Antara artis terkenal yang akan membuat persembahan ialah Noraniza Idris, Shila Amzah, Aina Abdul, Hael Hussaini, Ayda Jebat, dan Khai Bahar. Rancangan ‘MeleTop Special: Wrap Up 2024‘ yang dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Hawa Ridzwana juga akan bersiaran langsung di pentas utama.
Menurut Putri Yasmin Megat Zaharuddin, Naib Presiden Strategi Kandungan GenNext, konsert ini bukan sahaja untuk hiburan tetapi juga bertujuan membantu mangsa banjir.
“Melalui Bantuan Bencana Banjir Astro Kasih, kami mengajak semua yang menyaksikan konsert ini untuk menyumbang kepada keluarga mangsa banjir di Malaysia. Usaha kecil ini diharap dapat meringankan beban mereka dan memberi semangat untuk memulakan tahun baharu,” katanya.
Konsert ini akan bermula pada jam 6.30 petang dan disiarkan secara langsung di Astro Ria pada jam 10 malam. Penonton juga boleh menontonnya secara strim menerusi Astro Go dan Sooka. – BOOM!