Membuka lembaran kerjaya tahun ini, Dolla terus jadi rebutan beraksi di pentas membabitkan artis antarabangsa.
Sabtu ini, Dolla bakal memeriahkan Seen Festival in Kuala Lumpur 2023 bersama bintang sensasi K-Pop iaitu NCT DREAM, WayV, KARD dan ALICE.
Dianjurkan CM Live, konsert bermula jam 6 petang di Arena Axiata, Bukit Jalil itu sememangnya dinanti-nanti peminat gelombang K-Pop tempatan.
Sekali gus, ia bakal menjadi platform terbaik buat Dolla meraih pengikut baharu serta tunjukkan bakat luar biasa sebagai penghibur.
Dolla yang dianggotai Sabronzo, Syasya, Angel dan Tabby semestinya sangat berbesar hati dan sudah tidak sabar menghiburkan semua yang hadir pada acara itu nanti. Menurut mereka, ia satu peluang keemasan yang cukup dinanti mereka.
“Kami berasa bangga apabila dibariskan dengan penghibur hebat dari Korea Selatan. Dapat berkongsi satu pentas dengan nama-nama handalan itu adalah impian yang sangat kami idam-idamkan sejak ceburi bidang muzik.
“Peluang ini amat bermakna secara peribadi buat kami sebagai artis yang masih merangkak kukuhkan nama. Ia satu pengiktirafan terbesar untuk karier kami apalagi memang cita-cita Dolla ingin tembusi pasaran antarabangsa lagi,” kata mereka.
Kumpulan yang terkenal dengan lagu-lagu hit termasuk Watch Me Glow, Impikan, BAD dan Berani itu berjanji akan tampilkan persembahan jauh lebih bertenaga demi membuktikan penghibur tempatan juga berbisa.
“Kami mahu pamerkan corak persembahan yang setara dengan kualiti antarabangsa sebagaimana artis K-Pop. Kami juga mengintai peluang untuk saling berkenalan dengan bintang Korea yang ada nanti demi luaskan jaringan,” kata mereka.
Dalam perkembangan lain, Dolla berhasrat untuk melancarkan lima single baharu sepanjang tahun ini dan sedang memilih lagu yang sesuai. – BOOM!