Selepas single kedua berjudul Sentiasa diterima baik peminat muzik tempatan, penyanyi dan komposer muda, Firdaus Rahmat kini tampil mempertaruhkan Waras.
Berkata kepada Boom!, pencapaian Sentiasa yang menjadi runut bunyi (OST) drama Projek Anchor SPM mendorong Firdaus untuk menghasilkan karya baharu meski lagu tersebut masih rancak bersiulan.
“Waras sangat istimewa dan mempunyai nilai sentimental mendalam terhadap kehidupan peribadi saya.
“Ini kerana, lagu ini digubah khas sempena sambutan ulang tahun pertama perkahwinan saya yang dihasilkan bersama dua rakan iaitu Dari dan Iqie Hugh,” katanya membuka bicara.
Menjelaskan penceritaan lirik karya berkenaan, ia berkisar tentang tahap kewarasan seseorang yang sedang asyik dibuai mabuk asmara.
“Kadang-kadang, orang angau bercinta ni suka berkhayal di samping melayan hati mereka yang berbunga-bunga.
“Dek penangan cinta, kebarangkalian berlaku insiden tak diingini juga tinggi andai mereka gagal mengawal perasaan hingga dihanyutkan emosi.
“Itulah gambaran di sebalik penceritaan bait-bait lirik Waras yang tersirat iktibar dan pengajaran,” jelas Firdaus atau Muhammad Firdaus Rahmat, 24.
Menurutnya, video muzik buah tangan terbaharu itu boleh ditonton menerusi platform Youtube peribadinya serta akaun milik WP Entertainment bermula hari ini.
Terdahulu, Sentiasa berjaya menduduki tempat kedua dalam carta Recording Industry Malaysia (RIM) dan hingga saat ini telah distrim melebihi 2.5 juta kali.