Waima baru berusia 15 tahun, tahap profesionalisme Cici Felistacy wajar dipuji kerana bijak mengimbangi komitmen selaku pelajar dan penyanyi serentak.
Jelas penyanyi kelahiran Sabah itu, sedari bangku sekolah rendah dia sudah dididik soal pengurusan masa sebaik menceburkan diri dalam bidang seni suara.
“Walau bersekolah dan pada waktu sama berkerjaya, jujurnya saya tidak rasa terbeban kerana sejak kecil lagi ibu bapa sering menitikberatkan kepentingan menguruskan masa,” kongsinya kepada Boom!.
Terang Cici, lazimnya sebelah malam dia memperuntukkan masa mengulang kaji pelajaran, manakala siang dikhaskan untuk mengikuti sesi memantapkan teknik nyanyian.
“Menjelang minggu peperiksaan pula, saya akan berehat daripada sebarang aktiviti seni,” jelas pemilik nama penuh Feli Stacy Paimin itu.
Terbaharu, Cici baru mengeluarkan single berjudul Ku Takkan Mengalah sentuhan komposer Shaiffulhan Saidin dan lirik ditulis oleh Aping Kamarudin.
Difahamkan, lagu berunsur nasihat tersebut berkisar tentang seseorang yang sentiasa yakin diri dan tidak mudah mengalah meski terpaksa berhadapan onak duri.