Ekoran kegiatan seni yang tergendala, Watie Sadali tidak mahu menghabiskan masa di rumah dengan hanya bergoyang kaki, sebaliknya membantu meringankan beban para peminatnya.
Watie atau Norwati Sadali, 44, berkata, dia menawarkan khidmat mempromosikan barangan atau perkhidmatan diniagakan peminat dengan hebahan menerusi akaun media sosial miliknya dan juga suami, Joey Daud.
“Saya sendiri sudah lama berniaga kecil-kecilan secara atas talian (online) menjual bermacam-macam jenis produk.
“Jadi, saya faham perasaan dialami para peniaga online yang kadang-kadang sukar mendapatkan pelanggan.
“Tak semua peniaga ada kemahiran untuk mempromosikan perniagaan mereka, walhal produk yang dijual sangat bagus dan berkualiti,” kongsinya kepada Boom!.
Justeru, bagi menyokong bisnes para pengikutnya, Wati dan suami mengambil inisiatif tersendiri dengan menguar-uarkan di platform media sosial.
“Dalam situasi terdesak sekarang ini, semua orang berusaha untuk survive demi kelangsungan hidup.
“Sebab itulah, bermodalkan kelebihan sebagai pasangan selebriti, kami bantu pasarkan produk mereka seadanya,” katanya.
Tambah anggota kumpulan Elite itu, caj yang dikenakan amat murah dan berbaloi.
“Caj murah-murah saja sebab niat kami mahu membantu di samping memberi faedah kepada kedua-dua pihak,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Watie memaklumkan dia sedang merancang untuk mengeluarkan produk penjagaan rambut.
“Insya-Allah, tidak lama lagi, saya akan keluarkan syampu organik berasaskan herba jenama sendiri,” beritahunya.
Selain syampu, dia turut akan hasilkan produk lain yang memfokus kepada bahan perapian dan pembersihan peribadi.
“Saya yakin, pandemik yang dihadapi sekarang ini telah meningkatkan tahap kesedaran semua orang betapa pentingnya menjaga kebersihan diri,” ulasnya lanjut.