Penyanyi terkenal asal Bali, Mahalini Raharja berjaya pukau lebih 3,000 penonton di Konsert Lovechestra Mahalini In Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.
Konsert yang berlangsung selama 2 jam dengan bertemakan ‘All White’ itu telah menjadi momen terindah buat semua peminat Mahalini di Malaysia.
Tirai persembahan dibuka dengan lagu ‘Bawa Dia Kembali’ telah mendapat sorakan semua peminatnya. Ini menjadi bukti bahawa kehadiran Mahalini amat dinanti-nanti.
Dalam pada itu, Mahalini sempat mencuri masa meluahkan rasa terima kasihnya kepada peminat yang datang memenuhi Mega Star Arena pada malam itu.
Mahalini turut terharu dengan peminat yang masih setia dan tidak bosan dengan kehadirannya di Malaysia.
“Kamu semua tidak bosan ya sama aku? Tahun lepas sudah datang, tahun ini juga mahu datang.”
“Kerana bahasa kita sama dan tiada beza, aku harap lagu-lagu aku akan tetap menghiburkan kalian semua,” katanya memberi mukadimah pada malam itu.
Berbusana bak puteri kayangan, Mahalini berjaya membuat penonton terpukau dengan persembahannya ketika diatas buaian sambil diiringi suara merdu ketika membawakan lagu ‘Kisah Sempurna’.
Lebih istimewa lagi, Rizky Febian turut membuat kemunculan pada malam konsert tersebut. Ia berjaya membuatkan penonton terasa seperti jatuh cinta semula apabila menyaksikan persembahan gandingan mereka berdua.
Rizky Febian atau lebih mesra dipanggil Iky seolah watak utama dimalam itu apabila kehadirannya turut disambut meriah dengan sorakan ‘IKY’ daripada awal sehingga akhir persembahannya.
Walaupun terdapat gangguan teknikal pada mikrofon yang dipakai Iky, tetapi itu tidak menjadi penghalang buat Iky dan Mahalini mempersembahkan lagu cinta mereka yang berjudul ‘Janji Kita’, ‘Satu Tuju’ dan ‘You’re Mine’.
Tidak ketinggalan juga penyanyi Malaysia, iaitu Aisha Retno yang hadir sebagai penonton pada malam itu dan dijemput naik ke atas pentas untuk berduet bersama Mahalini.
Suasana sebak menyelubungi segenap Mega Star Arena tatkala lagu ‘Sisa Rasa’ didendangkan berserta tayangan montaj kenangan Mahalini bersama mendiang ibunya.
Mahalini juga sempat berkongsi kepada peminat bahawa lagu tersebut diciptakan khas buat mendiang ibunya yang sentiasa menjadi tulang belakang dalam mencapai kejayaan di sepanjang kariernya.
“Aku tidak mahu nangis, tapi lagu ini mengingatkan aku sama mendiang ibuku yang sekarang sedang melihatku dari jauh. I love you mom,” katanya sambil menahan sebak.
Sebagai penutup konsert, Mahalini memilih lagu yang menjadi kegilaan ramai dan hits di Tiktok serta Spotify, tidak lain dan tak bukan, iaitu lagu berjudul Sial!
Bagi memberi kelainan, lagu tersebut dinyanyikan dari bahagian tengah ‘crowd’ penonton sambil diiringi muzik yang sangat memukau.
Secara keseluruhannya, Konsert Lovechestra Mahalini In Kuala Lumpur sukses!
Ternyata percaturan Kharisma Music dalam membawakan Mahalini ke Malaysia membuahkan hasil kerana pemilihannya dibuat berdasarkan pencapaian beliau dalam meraih pelbagai anugerah serta pengiktirafan di industri muzik Indonesia dengan jumlah penstriman paling tinggi di Spotify (Indonesia), serta lagu-lagu nyanyian sering menjadi viral di media sosial. – BOOM!