Susulan dakwaan Rozita Che Wan gagal melunaskan pinjaman RM1 juta dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA), suaminya, Zain Saidin tampil memberi penjelasan bahawa mereka sedang berusaha menyelesaikan isu tersebut tanpa perlu mendedahkan butiran kepada umum.
Zain, 40, menegaskan bahawa perkara itu lebih kepada urusan peribadi isterinya.
“Kami ada usaha, cuma tak semua perlu diceritakan. Sebagai suami, saya hanya beri sokongan. Bukan hak saya untuk berkongsi lebih lanjut. Saya maafkan segala tuduhan dan faham mereka tidak tahu cerita penuh,” katanya menerusi siaran langsung TikTok.
Zain turut menjawab kritikan netizen yang menyalahkan mereka atas isu ini sehingga mendakwa ia mempengaruhi pinjaman pelajar lain.
“Ingat syarikat sebesar itu hanya ada RM1 juta untuk diagihkan? Kalau kami belum selesai, tak bermakna orang lain tak dapat pinjaman. Itu bukan logik,” jelasnya.
Dalam pada itu, Zain memaklumkan bahawa Che Ta, 51, enggan melayan panggilan media kerana kecil hati dengan apa yang berlaku.
“Dia kecil hati sampai sekat semua nombor yang cuba hubungi. Dia tak mahu bercakap dengan mereka. Tapi saya dan isteri tak pernah lari dari tanggungjawab, kami sedang lakukan yang terbaik,” katanya.
Sebelum ini, kediaman Che Ta dilaporkan diserbu pegawai MARA bersama wakil mahkamah, dan beliau dikatakan pernah membuat bayaran RM50,000, namun tarikh bayaran tersebut tidak dapat dipastikan. – BOOM!
Sumber: HIBGLAM