Pempengaruh media sosial, Cik Epal, berkongsi bahawa hak penjagaan anak-anaknya, Han dan Yuki, kini sepenuhnya berada di bawah tanggungjawabnya sebagai ibu. Walaupun mahkamah berpihak kepadanya, Cik Epal menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan bekas suaminya, Jofliam, demi kebaikan anak-anak mereka.
“Hak ibu sebagai penjaga termaktub dalam undang-undang. Alhamdulillah hak jagaan penuh Han dan Yuki dapat dekat aku. Namun, demi kepentingan anak-anak, aku ketepikan bahawa duda aku burukkan aku depan anak, aku ketepikan hal aku diburuk-burukkan dan aku ketepikan fakta dia curang,” ujar Cik Epal dengan tenang.
Cik Epal mengakui bahawa, walaupun hubungan mereka berakhir, dia menghargai peranan Jofliam sebagai seorang bapa yang baik. Demi memastikan anak-anak dapat bertemu dengan ayah mereka, dia sedang mencari rumah berdekatan dengan bekas suaminya itu.
“Dia bapa yang baik. Dan aku tak bagi call sebab dia sentiasa akan gunakan pelbagai cara untuk rakam dan manipulasi keadaan. Demi anak-anak, aku cari rumah dekat supaya duda aku boleh jumpa dan boleh gilir-gilir jaga. Boleh jumpa anak-anak selalu. Sebab aku sayangkan anak-anak aku,” tambahnya.
Cik Epal turut berharap agar bekas suaminya tidak lagi menyebarkan hal-hal negatif mengenai dirinya.
“Kalau tak, aku memang akan fight semula,” jelasnya tegas.
Mengakhiri kenyataan, Cik Epal mengungkapkan bahawa segala pengorbanannya adalah demi melihat anak-anaknya bahagia dan tetap rapat dengan ayah mereka.
“Mengalah demi anak. Asalkan anak gembira dan punya ayah walaupun aku dibuang. Mama sentiasa sayang Han & Yuki.”
Sebagai info, pada 9 Oktober lalu, Cik Epal mengumumkan perpisahannya dengan Jofliam selepas sedekad bersama. – BOOM!