Bekas anggota Elite, Hana Adnan menegaskan enggan bertoleransi dengan pelakon, Watie Sadali yang masih belum melunaskan bayaran ansuran RM2,500 sebulan kepadanya seperti diperintahkan Mahkamah Sesyen Selayang pada 2017.
Hana atau Norhanasafiza Mat Adnan, 44, menambah, Watie sudah diberikan masa selama lima tahun untuk menyelesaikan tuntutan hutangnya secara ansuran.
“Sehingga kini, sesen pun dia tidak pernah bayar. Malah dia juga tidak hubungi saya untuk berbincang sekiranya tidak mampu membayar amaun yang ditetapkan mahkamah itu.
“Pada era serba canggih sekarang ni, tiada alasan untuk dia tak mencari saya. Selain telefon, tentu saja dia boleh hubungi melalui media sosial. Lagipun, saya ada di Malaysia saja, tidak ke mana-mana pun,” katanya.
Mengulas statusnya yang pernah diisytiharkan muflis, Hana berkata, dia sudah bebas sejak November lalu apabila membuka semula kes itu untuk penyelesaian undang-undang sepenuhnya di mahkamah.
“Saya ambil masa tiga tahun untuk kumpul duit bagi membayar peguam untuk membuka semula kes ini dan menuntut penyelesaian secara undang-undang. Sudah lima tahun, masih lagi tidak diselesaikan.
“Sembilan tahun saya bergelut sejak 2013 dengan status diri yang diisytiharkan muflis dan ia bukan mudah.
“Jadi, saya perlu mendapat keadilan untuk diri sendiri. Harapan saya agar semuanya selesai apabila dia melunaskan hutang tertunggak itu. Cukup-cukuplah, dah lama sangat,” katanya.
Justeru, Hana memaklumkan kes tuntutannya akan disebut semula pada 29 Disember ini dan sekiranya Watie gagal membayar ganti rugi, pelakon berkenaan akan berdepan hukuman penjara.
Terdahulu pada 10 Mac 2015, Hana menang saman yang difailkan terhadap Watie atau Norwati Sadali, 48, berhubung kegagalan pelakon itu melunaskan bayaran pinjaman bank menggunakan namanya untuk membeli kenderaan jenis Toyota Wish.
Hana mendakwa, dia membuat pinjaman bank kenderaan itu pada September 2005 bagi pihak Watie sebanyak RM150,000 kerana pelakon itu tidak layak membuat pinjaman.
Bagaimanapun, Watie gagal mematuhi syarat ditetapkan seperti membayar ansuran bulanan, cukai jalan, insurans dan perkara berkaitan sejak September 2010 sehingga Hana diisytiharkan muflis.
Pada 18 Mei 2017, Hana yang memfailkan tuntutan saman penghutang penghakiman terhadap Watie selepas dia gagal membayar ganti rugi yang ditetapkan mahkamah pada 28 Ogos 2014.
Mahkamah Sesyen Selayang memerintahkan Watie membayar ansuran sebanyak RM2,500 sebulan kepada Hana sebagai penyelesaian bayaran tuntutan ganti rugi sebanyak RM707,351.83.
Sumber: Harian Metro