Nama anggota kumpulan De Fam iaitu Azira Shafinaz kebelakangan ini hangat diperkatakan berhubung kemesraannya dengan aktor duda terhangat di pasaran, Sharnaaz Ahmad.
Bercakap mengenai hal itu, Azira atau nama penuhnya Azira Shafinaz Ramlan, 30, tanpa berselindung mengakui sememangnya rapat dengan Sharnaaz atau Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 36.
“Iya, kami berdua memang berkawan baik. Tapi tak salah kan kalau kita kawan? Tak semestinya dalam berkawan itu wujud hubungan istimewa yang boleh dikatakan cinta.
“Apapun, bukan sesuatu yang mudah untuk saya mengiyakan. Cukuplah orang semua tahu kami memang rapat,” jawabnya.
Tambah Azira yang turut bergelar pelakon, dia enggan mengulas tentang status perhubungannya dengan Sharnaaz berlebih-lebihan kerana tidak manis dipandang umum.
Malah ketika ditanya perihal jodoh, gadis berkenaan sama seperti jawapan klise artis-artis lain yang menyerahkan segala-galanya kepada ketentuan Allah.
“Hal jodoh, rezeki dan ajal ini adalah urusan-Nya. Saya tidak tahu akan takdir saya di kemudian hari. Apapun saya hanya berserah,” tambahnya.
Pun begitu, andai ditakdirkan dirinya bertemu jodoh dalam masa terdekat, Azira secara spontan mengatakan dia akur menerima takdir Ilahi. – BOOM!