Legasi seni kumpulan popular Indonesia, D’Masiv tidak pernah terhenti biarpun berdepan cabaran fasa pandemik COVID-19.
Terus mempertahankan perjuangan muzik selama dua dekad, D’Masiv dianggotai Rian Ekky Pradipta selaku vokalis, Dwiki Aditya Marsall (gitar), Nurul Damar Ramadan (gitar), Rayyi Kurniawan Iskandar Dinata (bass) dan Wahyu Piadji (dram) tetap mengatur langkah demi meneruskan kelangsungan kerjaya dalam bidang muzik.
Sempena ulang tahun ke-20, D’Masiv bukan hanya mengadakan siri jelajah menyusuri 20 kota di Indonesia, tahun ini. Malah, Malaysia dipilih menjadi satu salah destinasi bagi meraikan ulang tahun legasi muzik bersama peminat.
Buat julung kali, D’Masiv yang popular menerusi lagu Pergilah Kasih, Jangan Menyerah dan Cinta Ini Membunuhku akan tampil dalam konsert pertama di Malaysia.
Konsert D’Masiv Road To The World anjuran Neptunes Presents ini bakal menggegarkan lokasi prestij, Zepp Kuala Lumpur pada 2 Jun depan.
Penganjurnya yang juga aktres terkenal, Nabila Huda berkata, D’Masiv adalah salah satu kumpulan Indonesia diminati sejak dahulu lagi, namun tidak pernah berpeluang menyaksikan konsert di Kuala Lumpur.
“2023 adalah ulang tahun D’Masiv ke-20, jadi Neptunes Presents ingin membawa D’Masiv bagi meraikan perjalanan muzik dan mendekati peminat di Malaysia di Zepp Kuala Lumpur.
“Awal tahun ini, saya dan keluarga sempat bercuti ke Jakarta, Indonesia. Secara kebetulan, kami kami diundang oleh teman rapat untuk bertemu dengan vokalis D’Masiv, Rian Ekky Pradipta.
“Namun, tujuan asal pertemuan hanya untuk berkenalan. Tiada perancangan pun melamar D’Masiv untuk mengadakan konsert di Kuala Lumpur.
“Bagaimanapun, pengurus D’Masiv amat teruja dengan penganjuran konsert pertama Senandung Malam membabitkan Payung Teduh X Pusakata dan Efek Rumah Kaca yang dibawakan Neptunes Presents pada November, tahun lalu.
“Dari situ, timbul idea sekiranya kami berminat berkolaborasi dengan D’Masiv dalam menganjurkan Senandung Malam Volume 2 di Kuala Lumpur,” katanya.
Anak kepada rockers legenda, Amy Search itu berkata, D’Masiv akan muncul dalam persembahan selama 120 minit pada 2 Jun depan.
“Ini adalah kemunculan pertama D’Masiv di Kuala Lumpur. Jadi, sudah tentu pilihan lagu daripada album pertama sehingga album terbaharu yang akan diperdengarkan,” katanya.
Hingga kini, D’Masiv sudah menghasilkan tujuh album iaitu Perubahan pada 2008, Perjalanan (2009), Persiapan (2012), Hidup Lebih Indah (2014), D’masiv (2016), Love 2019) dan terakhir, Time (2022).
Mengulas projek Senandung Malam, Nabila berkata, pihaknya sedang merancang mengadakan beberapa siri Senandung Malam membabitkan artis dari seberang dan tempatan untuk peminat.
“Konsep Senandung Malam lebih santai dan bertujuan menghiburkan peminat di Malaysia.
“Pemilihan artis juga berdasarkan permintaan peminat yang bukan sahaja dari kalangan kumpulan popular, malah kami teruja membawa penyanyi indie untuk tatapan peminat.
“Saya percaya penyanyi indie memiliki kelompok peminat yang tersendiri,” katanya.
Sehubungan itu, Nabila meminta peminat menantikan pengumuman terbaharu Konsert D’Masiv Road To The World, tidak lama lagi. – BOOM!