Sebelum ini, penyanyi popular Nabila Razali pernah dikecam netizen gara-gara tidak mengenali rakan senior vokalis kumpulan Arrow, Ringgo.
Dari tidak kenal, akhirnya penyanyi angkatan muda yang popular dengan lagu Peluang Kedua itu bakal berpadu suara dengan Ringgo.
Kedua-dua penyanyi itu bakal berduet dan berkongsi pentas di Konsert Jelajah 90 Suria Memang Cantik Kak Ell di Paradigm Mall, Johor Bahru esok.
Pengurus Besar Suria FM Roslinda Abd Majid berkata, Nabila dan Ringgo bakal menyampaikan lagu berjudul Niat Hati Tak Nak Berpisah yang dipopularkan oleh kumpulan Arrow.
“Persembahan mereka antara tarikan yang kami bawakan di pentas konsert jelajah kali ini bagi mengimbau lagu popular kumpulan Arrow yang hit sekitar tahun 90-an.
“Pada masa sama kita juga menggandingkan dan memperkenalkan penyanyi generasi baharu serta lama di satu pentas untuk pendengar kami,” katanya.
Nabila sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila tidak mengenali Ringgo dan menyingkirkan penyanyi itu yang dianggap penyamar dalam program I Can See Your Voice.
Nabila mendakwa dia tidak mengenali penyanyi senior itu ketika rancangan tersebut berlangsung.
Selain Nabila dan Ringgo, DJ Lin menambah terdapat dua lagi gandingan menarik iaitu Fieya Julia dan Wan Lestari yang akan berduet menerusi lagu Mahligaimu Dari Air Mataku.
Katanya, Siti Nordiana pula akan bersama Floor 88 membawakan lagu Gurauan Berkasih.
Selain penyampai Suria FM, jelajah tersebut juga akan dimeriahkan dengan persembahan kumpulan Boboy. – BOOM!