Penyanyi tersohor negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza kini secara rasmi bergelar Biduanita Negara selepas menerima Anugerah Khas Biduan Negara sempena Anugerah Seni Negara (ASN) 2024. Majlis penuh gilang-gemilang ini berlangsung di Kuala Lumpur pada Rabu, dengan penyampaian anugerah oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan kepada legenda muzik tanah air itu.
Dalam ucapan yang menyentuh hati, Siti Nurhaliza merakamkan penghargaan mendalam kepada semua pihak yang telah membantu sepanjang perjalanan seninya. Beliau menyifatkan pengiktirafan ini sebagai penghormatan besar dan bermakna dalam hidupnya.
“Seni bukan semata-mata untuk mencipta nama tapi dapat dekatkan diri saya dengan masyarakat,” luahnya penuh rasa rendah diri.
“Saya dapat bertemu peminat, pelbagai latar belakang, mendekati masyarakat pelbagai bangsa, memperkenalkan negara melalui persembahan di luar negara,” tambahnya lagi.
ASN 2024 turut diserikan dengan keberangkatan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, yang berkenan mencemar duli menghadiri majlis tersebut. Siti Nurhaliza memukau para hadirin dengan persembahan dua buah lagu, sebelum mengakhiri majlis dengan medley lagu-lagu popularnya, yang disambut meriah oleh peminat dan tetamu yang hadir.
Mengulas lanjut, Siti Nurhaliza menyatakan komitmennya untuk terus memberikan yang terbaik dalam industri seni tanah air.
“Ini merupakan anugerah yang besar untuk saya. Prinsip saya dalam kerja atau apa sahaja yang saya lakukan, saya harus memberi sumbangan dan kita semua ada peranan dalam kerjaya kita,” ujarnya.
Beliau juga berharap agar perjalanan seninya mampu menjadi inspirasi kepada generasi muda.
“Satu hari nanti, hasil seni ini jadi tanda atau prasasti untuk disantuni generasi muda akan datang,” ujarnya.
Sebagai penerima anugerah berprestij ini, beliau dianugerahkan wang tunai RM30,000, kain songket, watikah, trofi, dan status Seniman Tamu, menjadikan beliau individu keempat yang menerima gelaran tersebut selepas Allahyarham Saloma, Allahyarham Datuk Sharifah Aini, dan Allahyarham Tan Sri SM Salim.
Dengan gelaran Biduanita Negara ini, Siti Nurhaliza bukan sahaja mengukir sejarah dalam dunia seni tetapi juga mengangkat nama Malaysia di persada antarabangsa. – BOOM!