Penyanyi dan komposer, Edry Abdul Halim yang kini menetap di Manchester, United Kingdom berang dengan tindakan biadab band The 1975 di pentas konsert Good Vibes Festival 2023, pada malam Jumaat lalu.
Edry menerusi Instagram (IG)nya berkata, di UK kumpulan tersebut memang sangat dikenali kerana sikap buruk mereka.
Tambah Edry, penganjur perlu menyelidik latar belakang artis luar dengan teliti sebelum mengundang mereka masuk ke negara ini.
“Bangun hari ini dengan berita dari Malaysia. Buat saya marah, adab kumpulan dari luar yang mabuk dan tak menghormati undang-undang.
“Tidak hormat budaya dan tatasusila rakyat Malaysia.
Harap, lain kali penganjur kaji latar belakang kumpulan dari luar terlebih dahulu sebelum menjemput, jika ada rekod yang kurang enak,” katanya.
Menerusi hantaran sama, Edry turut memuji tindakan tegas kerajaan Malaysia yang menghentikan dan mengharamkan sebarang persembahan 1975 di sini.
“Tahniah Malaysia! Ambil tindakan sewajarnya dan tegas dengan pegangan sendiri,” katanya lagi yang disokong ramai pengikut.
Di ruangan komen, Edry tenang menjawab kritikan pengguna laman sosial tersebut tentang undang-undang negara Malaysia mengenai LGBT.
“Saya menghormati pandangan anda mengenai LGBT, tapi harap anda juga menghormati pendirian artis Malaysia dalam isu tertentu.
“Kita mungkin tidak sependapat, tapi melanggar undang-undang di mana anda berada adalah perkara salah,” katanya.
Terdahulu, persembahan The 1975 di Litar Sepang dihentikan selepas vokalisnya, Matty Healy menunjukkan aksi melampau termasuk memegang botol arak, meludah dan memecahkan drone penganjur.
Vokalis berusia 34 tahun itu turut menghina undang-undang Malaysia berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebelum bertindak mencium mulut pemain bass, Ross MacDonalds ketika membawakan I Like America and America Likes Me yang juga lagu ke tujuh. – BOOM!