Nama besar Bollywood, Salman Khan, sering menjadi topik perbualan peminat, terutama sekali mengenai status bujangnya. Meskipun pernah menjalin hubungan dengan beberapa aktres terkenal seperti Sangeeta Bijlani dan Katrina Kaif, Salman masih belum menamatkan zaman bujangnya hingga kini.
Dalam satu temu bual lama bersama Komal Nahta, bapa Salman, Salim Khan, telah berkongsi pandangannya mengenai perkara itu. Menurut Salim, Salman sering tertarik kepada aktres yang bekerja dengannya, tetapi hubungan tersebut berubah apabila ia menjadi lebih serius.
“Selepas komitmen, dia (Salman) akan cuba untuk menukar wanita itu dan mencari sifat ibunya dalam dirinya,” dedah Salim.
Baginya, ini satu perkara yang sukar kerana setiap wanita adalah berbeza dan tidak boleh dibandingkan dengan ibunya.
Salim turut menjelaskan bahawa wanita yang bekerjaya, khususnya aktres yang berada di puncak kerjaya, sukar untuk meninggalkan kerjaya mereka bagi memikul tanggungjawab sebagai seorang suri rumah.
Namun, bapa Salman tetap menyimpan harapan untuk melihat anaknya mendirikan rumah tangga suatu hari nanti.
Sekadar info, Salman hampir berkahwin dengan Sangeeta Bijlani pada era 90-an, malah kad undangan perkahwinan sudah dicetak. Namun, Bijlani membatalkan perkahwinan itu di saat akhir.
Walaupun begitu, Salman terus fokus kepada kerjaya seni dan peminat masih berharap agar suatu hari nanti Salman Khan akhirnya bertemu jodoh sejati.
Sumber: Times of India