Penyanyi popular, Haqiem Rusli bakal bernikah dengan rakan bisnesnya pada 19 November ini.
Haqiem mengumumkan berita gembira itu dalam ucapannya semasa siaran langsung Anugerah Bintang Popular ke-34 (ABPBH34) yang disiarkan di TV3 malam tadi.
Dalam acara tersebut, Haqiem atau Ridzuan Haqiem Rusli, 23, turut dinobatkan selaku Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi ABPBH34.
Menurut Haqiem, majlis pernikahannya akan dilangsungkan pada sebelah siang, manakala majlis resepsi pada malamnya terhad kepada 200 orang tetamu bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Si dia merupakan rakan bisnes saya. Dia adalah bos besar restoran SanThai Village yang kami usahakan bersama sebelum ini.
“Bagi saya, dia gadis yang lengkap dan berjaya mengubah hidup saya menjadi lebih baik,” ujar Haqiem berkongsi keistimewaan pilihan hatinya yang berusia 19 tahun bernama Wan Anis Sofea Wan Zamzuri berasal dari Kelantan itu.
Pada malam resepsi, kata Haqiem, dia akan menyanyikan sebuah lagu baharu berjudul Hitam Putih yang mengisahkan tentang percintaan mereka.
“Saya dah rekod lagu itu dan akan dipersembahkan pada hari yang indah itu.
“Bercakap tentang maksud lagu ini, Hitam itu adalah saya. Saya jadi saksi kepadanya yang memulihkan hati saya.
“Maksudnya, kami saling melengkapi,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Haqiem pertama kali menyuarakan hasratnya untuk berkahwin ketika sesi langsung di platform Instagram miliknya pada 30 Mei lalu. – BOOM!