Pelakon Diana Danielle berasa hairan dengan segelintir netizen yang menuduhnya membuat aduan tentang kes yang melibatkan seorang individu yang dikenali sebagai Abang Bas.
Melalui perkongsian di Instagram Story (IG Story), Diana Danielle Danny Beeson menjelaskan bahawa kes Abang Bas yang dituduh melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak telah diarahkan oleh Datuk Seri Nancy Shukri sendiri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
“Lagi satu, nak marah biar tepat. Minggu lepas saya dah keluarkan kenyataan rasmi, bukan saya yang buat laporan terhadap sesiapa.
Laporan dan tindakan dibuat dari Kementerian Wanita & Keluarga sendiri,” tulis Diana.
Tidak hanya itu, Diana juga mencabar sesiapa yang menuduhnya untuk memberikan bukti bahawa dia adalah orang yang membuat laporan tentang Abang Bas.
“Kes ini melibatkan Kerajaan Malaysia (melawan) defendan. Saya cabar anda untuk buktikan saya yang buat laporan,” tegas Diana.
Sementara itu, Diana juga menyeru agar orang ramai tidak terlalu cepat menuduh tanpa menyelidik terlebih dahulu.
“Saya ulang, laporan itu dari Menteri bersama dengan Kementeriannya dan bukanlah individu.
Okay, teruskan makian anda tapi biar dari sumber yang tepat, lawak ja tengok korang emosi tapi kutip sumber dari berita palsu di Facebook, macam mana ini?,” tulis Diana lagi.
Terdahulu, Diana telah berkongsi semula satu kenyataan media dari pihak polis mengenai penahanan Abang bas yang disyaki menghasilkan kandungan bersama pelajar sekolah, berserta dengan kapsyen yang tidak sesuai.
Namun, tindakan Diana telah menyebabkan beberapa netizen mendakwa dirinya telah membuat aduan polis terhadap Abang Bas.
Abang bas telah dituduh di Mahkamah Muar, Johor atas pertuduhan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan namun dibebaskan pada Selasa dengan bayaran jaminan sebanyak RM40,000.
Sehubungan itu, keluarga Abang Bas ingin mengambil tindakan undang-undang terhadap individu dan selebriti yang didakwa mengundang syak wasangka serta kecaman terhadap mereka sebelum ini.
Antara nama selebriti yang dikaitkan oleh netizen ialah Uyaina dan Diana Danielle kerana mereka dilihat lantang memberi pendapat mengenai isu tersebut di media sosial. – BOOM!