Pemenang tempat keempat Hero Remaja 2021 iaitu Afiq Hamidon, mengakui, gara-gara bertelinga capang, dia dipanggil Satelit oleh rakan-rakan sekelilingnya.
Namun katanya, dia sudah lali dengan usikan nakal berkaitan telinganya dan enggan mengambil serius gurauan berkenaan kerana menerima diri seadanya.
“Accept your body. Jangan dengar cakap orang. Setiap orang lahir dengan bentuk tubuh serta rupa yang berbeza.
“Itulah yang membuatkan kita unik dan istimewa. Bahkan keistimewaan itu sebenarnya akan menjadikan kita berasa lebih yakin,” katanya.
Cerita Afiq atau Afiq Hilman Hamidon , 20, pernah satu ketika dahulu ketika masih kanak-kanak, dia melalui fasa di mana sukar untuk menerima bentuk badan sendiri.
“Saya pernah persoalkan kenapa saya lahir sebegini. Akan tetapi hakikatnya, tiada siapa pun yang kisah dengan rupa paras kita.
“Ketika itulah saya belajar menerima diri sendiri seadanya dan gunakannya sebagai senjata untuk terus mencipta kejayaan,” kata remaja yang pernah menetap di Amerika Syarikat selama empat tahun itu.
Disebabkan membesar di negara orang, Afiq sedar keupayaannya bertutur dalam bahasa Melayu agak lemah.
Menyedari kekurangannya, kata Afiq, dia banyak meminta tolong daripada rakan-rakannya terutama peserta-peserta yang menyertai Hero Remaja 2021.
“Saya pesan kepada mereka, kalau saya ada tersalah sebut, tolong tegur dan betulkan.
“Alhamdulillah, mereka sangat menyokong dan tidak ketepikan saya walaupun selalu bercakap dalam bahasa Inggeris,” katanya yang bercita-cita bergelar model dan komposer. – BOOM!