Dina Nadzir mencuri perhatian dengan nyanyiannya untuk lagu “Terbang Tinggi” sempena Ulang Tahun Simpanan SSPN ke-20. Menurut Dina, tawaran ini dianggap rezeki kerana datang secara kebetulan ketika dia sedang merakamkan lagu lain di studio.
“Saya terus bersetuju dan buat rakaman. Alhamdulillah, nyanyian saya diterima,” katanya.
Menyentuh tentang cabaran menyanyikan lagu korporat, Dina berkata mesej menjadi elemen penting.
“Cabaran tetap sama, cuma untuk lagu korporat, saya perlu pastikan mesej yang ingin disampaikan kepada ibu bapa dan pelajar sampai. Saya harap orang ramai sedar betapa pentingnya pelajaran selepas mendengar lagu ini,” ujarnya kepada BOOM!.
Dina turut memuji sistem pendidikan di Malaysia yang disifatkannya sudah cukup baik dan menyeru rakyat untuk memanfaatkannya sepenuhnya.
“Pendidikan sangat penting untuk apa jua bidang. Walaupun pengalaman kerja membantu, ilmu pendidikan membentuk diri insan itu sendiri. Orang yang ada ilmu akan berbeza dengan orang yang kurang berpelajaran,” katanya lagi.
Ketika diminta mengulas isu influencer yang mengatakan pelajaran tinggi tidak perlu untuk berjaya, Dina menolak keras pandangan tersebut.
“Kalau kita ada ilmu, setiap keputusan yang dibuat akan berbeza. Masa depan dan cara kita menguruskan kewangan atau apa sahaja akan lebih terurus. Malah, ilmu menjadikan kita lebih inovatif,” tegasnya.
Dengan lagu “Terbang Tinggi”, Dina berharap mesej kepentingan pendidikan dapat menyentuh hati ramai pihak. – BOOM!