Pengacara dan pelakon popular Elly Mazlein, atau lebih mesra dikenali sebagai Kak Lina Pom Pom, menyeru rakyat Malaysia untuk mendoakan kesihatan adik Alisa Umairah, yang baru-baru ini menjadi perhatian umum selepas disahkan bebas dari kanser mata tahap empat selepas menjalani tujuh ‘cycle’ kimoterapi.
Dalam hantaran di Instagram, Kak Lina berkongsi bahawa beliau telah berada di Johor bagi melawat adik Alisa, yang kini dalam keadaan tenat dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital.
“Alisa anak yang kuat, Malaysia doakan Alisa ya sayang,” tulis Kak Lina.
“Mama datang tengok Alisa, kuat ya anak,” tambahnya lagi.
Kisah adik Alisa mula tular apabila bapanya, Nur Hisham Abd Hamid, berkongsi pengalaman perjuangan anaknya yang menghidap kanser mata.
Menurut beliau, Alisa didiagnosis dengan kanser mata sejak usianya setahun dan sering menggunakan peti ais sebagai tempat untuk mengurangkan kepanasan akibat rawatan.
Kak Lina turut memohon doa orang ramai agar adik Alisa terus diberi kesembuhan dan kekuatan dalam menghadapi ujian besar ini. – BOOM!