Bekas isteri Harith Iskander, Dr Jezamine Lim, menzahirkan harapan agar pihak yang menyebarkan kebencian dan mencetuskan kontroversi terhadap Harith berhubung isu dakwaan menghina agama Islam mendapat pengajaran daripada perbuatan mereka.
Dalam kenyataannya di Instagram, Jezamine turut menyeru individu tersebut untuk membuka hati dan menggunakan tenaga ke arah kebaikan.
“Kepada individu di sebalik segala penderaan dan kebencian, saya berharap suatu hari nanti anda menemui ketenangan dalam diri sendiri. Gunakan tenaga anda untuk menyebarkan kasih sayang, empati, dan kebaikan. Ingat, karma pasti berlaku,” katanya.
Jezamine juga menegaskan, mereka yang menimbulkan provokasi keterlaluan perlu berani memikul tanggungjawab.
Kenyataan tersebut dikongsi bersama rakaman video latihan Harith bersama anak-anak mereka sebagai persediaan persembahan komedi berdiri di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) yang dijadualkan semalam. Bagaimanapun, acara itu dibatalkan susulan ancaman bunuh yang diterima.
Walaupun kecewa dengan pembatalan persembahan, Jezamine percaya pihak berkuasa akan mengendalikan isu ini secara adil.
“Kami percaya pihak berkuasa dapat menguruskan perkara ini secara profesional. Terima kasih kepada semua yang menyokong dan menunjukkan kasih sayang di waktu sukar ini,” katanya.
Persembahan tersebut, yang turut melibatkan dua anak mereka, Zander dan Zydane, dianggap amat bermakna sebelum segala perancangan terpaksa dihentikan demi keselamatan.
“Keputusan ini adalah terbaik untuk keselamatan keluarga kami walaupun ianya sangat mengecewakan,” tambahnya.
Terdahulu, kontroversi ini tercetus selepas hantaran di media sosial Harith dikatakan membuka ruang kepada komen yang didakwa menghina Islam, sekali gus menimbulkan kemarahan dalam kalangan netizen. – BOOM!