Selepas pulang dari mengerjakan umrah, pelakon Eyka Farhana menjadi sasaran kritikan netizen gara-gara penampilan seksinya ketika menghadiri Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW).
Foto yang memaparkan dirinya mengenakan blaus singkat mencetuskan kecaman, dan amal ibadatnya ketika di Tanah Suci turut dipersoalkan.
Ramai yang berpendapat bahawa pemilik nama sebenar Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi, 29, itu seharusnya tampil lebih sopan, apatah lagi selepas menunaikan umrah.
Namun, Eyka menghargai teguran yang diberikan walaupun belum bersedia untuk membuat perubahan drastik.
“Jujurnya, soal penampilan atau perubahan diri terlalu peribadi untuk diperkatakan. Saya faham pengikut mengharapkan perubahan bila saya pulang mengerjakan umrah seperti memakai tudung dan sebagainya.
Tapi, mungkin perkara itu belum lagi buat saya. Saya juga mohon maaf jika pakaian saya terlalu berlebihan,” kata Eyka.
Pelakon drama Melur Untuk Firdaus 2 ini turut dikecam kerana kerap berkongsi foto semasa berada di Tanah Suci.
Netizen menasihati Eyka agar lebih fokus kepada ibadah tanpa perlu mempamerkan diri di media sosial.
Menjawab kritikan tersebut, Eyka menjelaskan niatnya hanya untuk berkongsi momen dan keindahan tempat yang dilawati.
“Saya memang suka ambil gambar. Kalau pergi mana-mana, saya tetap rakamkan momen atau tempat menarik yang saya kunjungi, bukannya di Tanah Suci sahaja. Lagipun, tak semua benda saya kena kongsi dalam media sosial terutamanya soal ibadah,” ujarnya.
Eyka juga berkongsi pengalaman manisnya mengerjakan umrah bersama adik dan pelakon Bella Astillah, di mana dia merasai ketenangan dan kedekatan dengan Allah sepanjang berada di sana.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai khabar dirinya sudah dirisik dan bertunang dengan pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid, Eyka hanya akan berkongsi jika ia benar-benar berlaku.
“Kalau betul ada majlis merisik atau bertunang, saya akan beritahu. Sudah pasti saya akan umumkan berita gembira dalam media sosial,” jelasnya.
Untuk makluman, Eyka ke Tanah Suci untuk penggambaran drama Satu Hari Nanti arahan Pali Yahya, yang bakal ditayangkan di iQIYI pada September ini. – BOOM!
Sumber: Berita Harian