Adik kepada pelakon Farid Kamil, Fadzil Zahari mengakui belum berkesempatan bertemu abang sulungnya itu selepas dia rujuk kembali dengan bekas isteri, Diana Danielle pada Ogos lalu.
Menurut Fadzil, kekangan masa menyebabkan mereka belum mempunyai peluang untuk meluangkan masa bersama.
“Selepas mereka kembali bersama, kami belum jumpa lagi. Masing-masing sibuk menguruskan hal masing-masing.
“Insya-Allah, kami akan bertemu dengan seluruh ahli keluarga nanti. Berkumpul macam dulu balik
“Apapun saya sebagai adik sentiasa mendoakan kesejahteraan ikatan perkahwinan mereka,” katanya.
Mengulas mengenai penerimaan ahli keluarga lain selepas Farid dan Diana rujuk, Fadzil berkata, mereka gembira dan bersyukur dengan keputusan dibuat.
“Alhamdullillah dia buat keputusan terbaik demi masa depan anak-anak malah kami sekeluarga sentiasa mendoakan Farid dan Diana.
“Apabila mereka buat keputusan berbaik, sudah tentu seisi keluarga menyambut berita itu dengan kesyukuran,” katanya.
Bagaimanapun kata Fadzil, dia berpuas hati kerana dapat menemani abangnya itu ketika berada di dalam keadaan sukar.
“Sepanjang dilanda masalah tempoh hari, saya memang kerap menemaninya sebab saya tahu dia seorang, bila orang yang ada masalah ini sendirian, takut dia buat benda merepek.
“Boleh dikatakan dalam tempoh tiga hingga empat bulan sebelum ini kami banyak menghabiskan masa bersama-sama.
“Dalam tempoh itu juga saya lebih mengenali abang saya dan ketika itu jugalah baru saya tahu apa yang berlaku dalam rumah tangga mereka.
“Lillahitaala, saya ikhlas sebagai adik dan itulah tanggungjawab kita ketika darah daging dilanda masalah.
“Ibu bapa pun harapkan saya temani Farid sebelum ini sebab saya buat bisnes jadi masa saya boleh aturkan, sebab adik beradik lain semuanya doktor, mereka terikat dengan kerja.
“Sebagai adik saya cuma dapat bagi nasihat, namun pilihan tetap di tangannya kerana dia yang melayari rumah tangga. Kita mampu doakan saja,” ujarnya.
Fadzil ditemui ketika majlis pelancaran produk minuman oat Bagoos, di KL Convention Centre, baru-baru ini.
Sementara itu, Yana mengakui dia dan suami mengambil pendekatan tidak mencampuri urusan rumahtangga abang ipar bersama birasnya yang disifatkan sebagai hal peribadi.
“Kalau bab perkahwinan, tak boleh masuk campur sebab orang tua pun nasihat perkara sama, cuma ketika mereka diuji kita bagi sokongan kepada mereka,” katanya.
Kemelut rumahtangga Farid dan Diana menjadi sorotan ramai apabila memilih bercerai selepas 11 tahun bergelar suami isteri namun rujuk semula tiga minggu kemudian. – BOOM!