Pelakon terkenal Farid Kamil Zahari, 43, tetap berpendirian untuk tidak menceraikan isterinya, Diana Danielle, meskipun mereka kini melalui proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) di mahkamah.
Menurut peguam syarie Farid, Fakhrul Azman Abu Hassan, proses JKP berjalan seperti biasa dengan pelantikan wakil bagi kedua-dua pihak.
“Tiada halangan sekiranya mereka mahu berbincang untuk berdamai atau berbaik kerana pasangan ini masih sah suami isteri. Keputusan tetap akan diumumkan pada 24 Mac nanti,” katanya.
Sementara itu, Farid berharap doa daripada semua pihak agar kemelut rumah tangga mereka berakhir dengan baik.
“Alhamdulillah, proses hari ini berjalan lancar. Saya hanya perlukan doa yang baik-baik dan pendirian saya masih kekal mahu bersama Diana,” ujarnya ketika ditemui.
Diana, yang memfailkan permohonan cerai kali kedua pada 4 November tahun lalu, tidak hadir ke sesi mahkamah kali ini kerana diwakili oleh rakannya dalam proses JKP.
Pasangan yang mendirikan rumah tangga sejak 3 November 2012 itu sebelum ini pernah berdepan krisis rumah tangga panjang sebelum bercerai talak satu secara maya melalui aplikasi Google Meet pada 10 Ogos 2023. Namun, mereka rujuk kembali sebulan selepas itu.
Walau bagaimanapun, bahtera perkahwinan mereka kembali bergelora apabila Diana memfailkan penceraian baharu. Pasangan ini dikurniakan dua anak, Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.
Kes rumah tangga mereka kini bergantung kepada keputusan mahkamah yang dijangka diumumkan bulan hadapan.
Sumber: Sinar Harian