Penerbit tersohor, Datuk Yusof Haslam , menggesa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk lebih berwaspada dalam pemberian dana kepada penerbit filem. Menurutnya, terdapat penerbit yang menerima geran sebanyak RM500,000, tetapi hanya membelanjakan RM200,000 untuk menghasilkan filem, yang baginya sangat mengecewakan.
“Standard filem mereka seperti telefilem, malah telefilem lagi bagus. Itu tindakan penerbit yang tidak bertanggungjawab. FINAS perlu lebih berhati-hati sebab ini melibatkan wang rakyat,” tegas Yusof.
Beliau mencadangkan FINAS memilih penerbit baharu yang benar-benar bertanggungjawab dan memiliki rekod kerja yang baik.
“Beri peluang mereka buat telefilem dulu. Kalau nampak bagus, barulah beri peluang hasilkan filem. Jangan beri terus kepada individu yang baru sahaja terjun ke industri dan bukan penerbit serius. Pemilihan perlu logik,” katanya.
Yusof turut berkongsi pendekatan beliau dalam melatih anaknya, Syamsul Yusof , sebelum diberi peluang mengarah filem.
“Saya bagi Syamsul arah drama seperti Gerak Khas. Bila dia buat bagus, kemudian telefilem pun bagus, barulah saya beri kepercayaan untuk buat filem. Saya berhati-hati sebab ini melibatkan wang,” tambahnya.
Ditanya mengenai isu penggambaran filem dalam masa singkat, Yusof menyifatkan perkara itu sangat subjektif.
“Ada filem dibuat cepat tetapi berkualiti, seperti filem Babah dan Imaginur. Bajet mungkin kecil, tetapi kualiti sangat bagus. Sebaliknya, ada juga filem yang makan masa berbulan-bulan tapi hasilnya hancur,” jelas beliau.
Teguran ini dilihat sebagai usaha Yusof untuk memastikan industri perfileman Malaysia terus menghasilkan karya berkualiti dengan menggunakan dana secara bertanggungjawab.
Sumber: Harian Metro