Sejarah telah tercipta apabila dua legenda rock dari dua buah negara, Radja dan juga Ella disatukan dalam pentas yang sama Menerusi Live In Concert: Radja.
Malah gabungan mantap kedua-dua legenda tersohor ini telah memukau lebih 5000 penonton di Mega Star Arena, Sungei Wang, Kuala Lumpur, minggu lalu.
Menghiburkan peminat selama lebih dua jam, konsert ditunjangi oleh Ian Kasela selaku vokalis, Moldy Kusnadi (gitar) dan Seno Aji (dram) itu mendapat sambutan hangat apabila dihadiri hampir 5,000 peminat.
Bermula jam 9.15 malam, konsert anjuran syarikat Orange International Entertainment itu dimulai dengan persembahan lagu Bulan, disusuli Selalu Jauh Dari Cinta, Wahai Kau Cinta dan Tetaplah Kau Jadi Milikku.
Dalam pada itu, Ian sempat mencuri masa meluahkan rasa terima kasih kepada peminat yang terus menyokong Radja sejak kali pertama ke Malaysia pada 2004.
“Selamat malam dan terima kasih, anda semua ‘keren’ (menakjubkan), Kuala Lumpur. Yang duduk boleh berdiri menari.
“Sebaik-baik hidup kalau kita ada rasa cinta itu indah sekali,” katanya memberi mukadimah pada malam itu.
Menambah keistimewaan dalam konsert apabila Ian turut menjemput anak gitaris Moldy iaitu Axel Farden dalam menyanyikan lagu Tulus.
Tidak hanya itu, Ian juga menjemput anak lelaki kedua, Farell Kasela menyampaikan lagu Aku Ada Karena Kau Ada dan kemudiannya, anak sulung, Hugo Kasela mendendangkan lagu Cinderella.
Hugo terharu dengan peluang diberikan oleh bapanya menyifatkan pengalaman sebagai satu perkara tidak boleh disia-siakan.
“Ini adalah satu penghormatan bisa tampil bersama ayah disaksikan teman di Malaysia. Saya baru sahaja keluarkan single Pilihan Terbaik, jadi berharap ramai menyokong saya,” katanya.
Malam terus dihangatkan dengan persembahan lagu Manusia Biasa, Yakin, Patah Hati, Angin dan Benci Bilang Cinta.
Saat yang paling dinantikan apabila ratu rock negara, Ella muncul di pentas dengan menerima sorakan gemuruh dari penonton yang hadir dengan menyanyikan lagu Jujur serta Ta’kan Melupakanmu sebelum menutup acara.
“Terima kasih kepada semua penonton yang hadir dan ‘sing-along’ kepada lagu-lagu Radja, serta buat ‘Queen of Rock Malaysia’ Ella kerana sudi bersama-sami kami dalam satu pentas, dan setinggi-tinggi penghargaan buat Dato’ Fazli dari Orange Entertainment International kerana merealisasikan impian kami.
“Ini adalah ‘new chapter’ buat Radja kembali ke Malaysian dengan respon yang sungguh luar biasa dari peminat semua, terasa momen ‘intimate’ itu sepanjang konsert berlangsung,” kongsi Ian.
Sebagai hadiah, Ella turut menyanyikan lagu popularnya, Sepi Sekuntum Mawar Merah. Bagaimanapun, tidak sekadar hiburan, Radja turut menekankan solidariti buat Gaza dengan menghulur sumbangan sebanyak RM5,000 kepada tabung bagi membantu rakyat Palestin.
Ian berkata, sumbangan atas tanda prihatin Radja kepada rakyat Palestin yang sedang berdepan kesukaran.
“Di sebalik keriuhan, jangan lupa berikan doa kepada saudara kita di Palestin. Mudah-mudahan masalah dan insiden terjadi cepat selesai,” katanya. – BOOM!