Anak sulung pelakon Zahnita Wilson, Zahrafeena, membuat pendedahan mengejutkan apabila mendakwa segala kontroversi yang ditimbulkan ibunya sebelum ini sudah dirancang lebih awal.
Zahrafeena, atau lebih mesra disapa sebagai Zahra, mendedahkan bahawa gambar lebam di mata kiri yang dikongsi Zahnita pada 2 Disember lalu adalah foto lama.
“Ibu sudah rancang untuk kami berpindah selepas saya selesai peperiksaan SPM, tetapi perkara ini menjadi tular lebih awal. Di sekolah, cikgu ada bertanya adakah saya dipukul? Saya jelaskan tiada siapa yang dipukul, dan gambar itu adalah foto lama,” katanya.
Zahra turut meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan ibunya, yang didakwa mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu, terutamanya ketika dia sedang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Sebagai anak, saya memang kecewa dan tertekan. Hendak fikir SPM, fikir tentang dia (Zahnita) lagi. Apa yang ibu buat ini pada masa tidak tepat. Dia bagaikan tidak ambil kisah fasal saya. Dia lebih fokus pada diri sendiri,” ujar Zahra dengan nada sedih.
Menjelaskan keputusan untuk tinggal bersama ayahnya, Zahra berkata, ia adalah atas kehendak sendiri kerana mendapati suasana lebih tenang.
“Tiada siapa yang paksa. Saya yang mahu tinggal bersama ayah. Tinggal bersama ayah lebih chill (tenang). Rumah ibu tidak jauh dari sini, tetapi saya memilih untuk tidak berjumpa kerana kebelakangan ini ibu selalu marah bila berjumpa,” jelas Zahra lagi.
Kontroversi ini terus mencetuskan pelbagai reaksi, dan hubungan Zahra bersama ibunya dilaporkan tegang sejak isu ini timbul. – BOOM!
Sumber: MStar